Buaya dikhuatiri ancam keselamatan ditangkap

0
TANGKAP: Mazlan menunjukkan buaya yang berjaya ditangkap semalam.

TANGKAP: Mazlan menunjukkan buaya yang berjaya ditangkap semalam.

KUCHING: Sarawak Forestry Corporation (SFC) semalam berjaya menangkap seekor buaya jantan sepanjang 18 kaki selepas dikhuatiri mengancam keselamatan pengunjung di Taman Negara Bako.

Pengurus Taman Negara Bako Abang Abdul Mutalib berkata, buaya tersebut ditangkap ekoran aduan orang ramai selepas buaya tersebut dilihat muncul beberapa kali sekali gus mengundang kerisauan.

Justeru, menurutnya, melalui Program Pemantauan Buaya yang dilancarkan SFC di taman negara tersebut berjaya menangkap reptilia berkenaan, iaitu kira-kira 20 minit perjalanan dari Terminal Taman Negara Bako.

“Bertindak atas aduan orang ramai, kita berjaya menangkap seekor buaya di Teluk Paku, iaitu kira-kira 20 minit perjalanan dari sini (terminal) menggunakan bot pada pagi tadi (semalam).

“Kita percaya buaya tersebut sudah berusia memandangkan keadaan lumut di atas badannya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, buaya tersebut yang ditangkap oleh unit Swift Wildlife Action Team (SWAT) SFC diketuai Wan Mazlan Wan Madian akan dipindahkan ke Pusat Hidupan Liar di Matang atau ke Taman Buaya Jong.

Selain itu, bercakap mengenai Program Pemantauan Buaya, beliau memberitahu ia dijalankan secara berterusan di kawasan kira-kira 20 kilometer dari Kampung Bako hingga Pulau Lakei.

“Tidak dinafikan populasi buaya di sini memang tinggi, tetapi melalui program ini, kita harap dapat bertindak pantas sekiranya ada aduan mengenai kehadiran buaya yang boleh mengancam keselamatan pengunjung,” katanya.

Tambahnya, untuk tahun ini sahaja pihaknya berjaya menangkap dua ekor buaya di bawah program tersebut.

Sementara itu, Wan Mazlan, 57, ketika ditemui turut menceritakan pengalaman lebih 20 tahun bertugas menangkap buaya di sepanjang pesisir Taman Negara Bako.

“Pengalaman banyak, ada yang ganas dan juga yang senang ditangkap tetapi dengan kemahiran serta kelengkapan (senjata) yang digunakan memudahkan kerja-kerja penangkapan,” katanya.