‘Umpan’ dicekup

0
TUMPAS: Suspek (duduk) ditahan di rumahnya semalam untuk siasatan lanjut.

TUMPAS: Suspek (duduk) ditahan di rumahnya semalam untuk siasatan lanjut.

Polis tahan remaja dipercayai jadi ‘umpan’ sekumpulan lelaki untuk ‘menjerat’ dan merompak mangsa.

Oleh Jeremy Lanson //

KUCHING: Seorang remaja perempuan yang dipercayai menjadi ‘umpan’ sekumpulan lelaki untuk ‘menjerat’ sebelum merompak mangsa mereka dicekup polis semalam.

Menurut sumber, suspek berusia 19 tahun ditangkap di rumahnya di Kampung Sungai Maong Tengah di sini oleh anggota dari Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching diketuai ASP Austin Patrick.

Difahamkan, remaja tersebut dipercayai terlibat dalam tiga kes rompakan sejak awal bulan Jun lepas.

“Modus operandi (MO) mereka ialah suspek akan dijadikan ‘umpan’ untuk berkenalan dengan mangsa melalui aplikasi WeChat atau Facebook dan akan mengajak mangsa untuk berjumpa serta bersiar-siar.

“Apabila suspek berjaya ‘mengumpan’ mangsanya untuk keluar bersama, maka sekumpulan lelaki yang merupakan rakan subahat suspek akan muncul dan bertindak menyamun mangsa,” kata sumber.

Sumber turut memberitahu, pihak polis juga berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun dipercayai rakan suspek untuk membantu siasatan.

“Penangkapan suspek perempuan terbabit membawa kepada penangkapan seorang suspek lelaki di Lorong Pak Ghani untuk membantu siasatan.

“Polis kini giat mencari dua lagi lelaki dipercayai rakan subahat suspek untuk siasatan lanjut,” katanya.

Selain itu, beberapa barang dipercayai milik mangsa juga berjaya ditemui semula dalam operasi semalam.

“Terdapat beberapa barang dipercayai milik mangsa berjaya ditemui, namun polis masih berusaha mengesan barang-barang lain termasuk telefon bimbit, dompet, wang tunai dan dokumen peribadi,” katanya.

Kedua-dua suspek telah dibawa ke IPD Kuching dan akan direman untuk siasatan lanjut.

Antara kes rompakan yang dipercayai didalangi suspek dilaporkan berlaku di Jalan Hashim Jaafar apabila mangsa berusia 22 tahun diajak berjumpa oleh suspek yang dikenalinya melalui WeChat.

Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah malam itu, mangsa dikatakan menjemput suspek yang kemudian diajak untuk berjumpa dua lagi lelaki yang kononnya ingin menumpang kereta.

“Dua lelaki itu kemudian meminta mangsa menghantar mereka ke Taman Sepakat Jaya dan ketika dalam perjalanan, seorang daripada lelaki terbabit bertindak mencekik mangsa dan mengarahkannya berhenti.

“Sebaik sahaja kereta diberhentikan, mangsa diarah untuk menyerahkan barang berharga dan kerana ketakutan, mangsa bertindak melarikan diri meninggalkan keretanya di tempat kejadian,” kata sumber.

Mangsa telah dibantu oleh penduduk kawasan tersebut dan kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kejadian.

Kereta mangsa jenis Atos juga telah ditemui semula selepas dilarikan suspek dari tempat kejadian.