Wajah terpampang dalam CCTV

0
KANTOI: Gambar skrin rakaman CCTV menunjukkan suspek memegang telefon bimbit di kedai berkenaan sebelum melarikan diri.

KANTOI: Gambar skrin rakaman CCTV menunjukkan suspek memegang telefon bimbit di kedai berkenaan sebelum melarikan diri.

KUCHING: Seorang bekas askar ditangkap di Serian kelmarin berhubung kes kecurian telefon bimbit yang dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kedai di Tabuan Jaya, minggu lepas.

Suspek berusia 27 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Tanah Mawang sekitar jam 8 malam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ekoran siasatan ke atas insiden tersebut yang menjadi viral selepas rakaman CCTV kedai terbabit dimuat naik ke media sosial.

Rakaman itu menunjukkan suspek di kaunter kedai dan berbual dengan pemilik kedai berkenaan sambil berpura-pura berminat untuk membeli telefon bimbit.

Selepas memastikan dia dapat melarikan diri, suspek merampas telefon bimbit dan ‘power bank’ dan meluru ke arah motosikalnya yang diparkir berdekatan.

Sementara itu, pemilik kedai melompat di atas kaunter untuk mengejar suspek tetapi tidak dapat menghalangnya.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan tangkapan apabila dihubungi untuk mendapatkan kenyataan semalam.

“Seorang bekas askar, yang keluar dari angkatan tentera kira-kira tiga tahun lalu, ditangkap oleh kakitangan JSJ Kuching di rumahnya di Kampung Tanah Mawang, Serian.

“Kami berjaya menjumpai telefon bimbit Samsung J7 yang dicuri dan akan menahan reman suspek untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Abang Ahmad menambah, bekas anggota keselamatan itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan didapati negatif bagi penyalahgunaan dadah.