Wanita mampu menyumbang ekonomi isi rumah

0

Oleh Mohd Achil Norrlatep//

TERIMA KASIH: Dennis (enam kiri) ketika menerima cenderahati iaitu tikar hasil kraf tangan tempatan daripada Elizabeth (enam kanan) pada majlis berkenaan baru-baru ini.

TERIMA KASIH: Dennis (enam kiri) ketika menerima cenderahati iaitu tikar hasil kraf tangan tempatan daripada Elizabeth (enam kanan) pada majlis berkenaan baru-baru ini.

MIRI: Golongan wanita memainkan peranan penting meningkatkan pendapatan isi rumah terutamanya penduduk kawasan luar bandar dan pedalaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau berkata, kumpulan ini boleh menghasilkan kraf tangan bermutu tinggi sebagai salah satu produk pilihan.

“Saya minta suri rumah sepenuh masa menggunakan masa terluang menghasilkan kraf tangan bermutu tinggi,” katanya pada majlis perasmian Program Peningkatan Kemahiran anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Baram bau-baru ini.

Menurutnya, ia akan membantu mempertingkatkan pendapatan isi rumah seterusnya ke arah masyarakat berpendapatan tinggi.

“Sebab itu perlu hasilkan (kraf tangan) betul-betul akan dapat mendapat sambutan dalam pasaran di luar sana,” jelasnya lagi.

Selain itu, Dennis turut menyarankan penduduk terutamanya tinggal di rumah panjang di pinggir dan terletak di kawasan Sungai Akah Patah untuk membentuk satu jawatankuasa pembangunan.

“Ia bagi membincang seterusnya mencadangkan cara terbaik bagaimana membangunkan ekonomi penduduk di kawasan terlibat,” katanya kerana pembangunan melalui pembinaan Empangan Hidroelektrik Baram tidak lagi dilaksanakan.

Perancangan itu penting katanya untuk memastikan pembangunan ekonomi terutamanya bagi penduduk di kawasan terbabit dan juga demi generasi hadapan.

Seramai 80 peserta wanita terdiri daripada penduduk Long Tebangan, Long Senai, Long Liam, Long Liam KEliman dan Ba’ Abang mengikuti program dimaksudkan.

Turut hadir pada majlis adalah Ketua Masyarakat Baram Temenggong Elizabeth Deng yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Baram serta Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Charles Balan Seling.