Guna perkhidmatan pengangkutan awam yang sah, kata Raime

0
TERIMA KASIH: Raime (kanan) menerima cenderamata daripada Rahmahjan.

TERIMA KASIH: Raime (kanan) menerima cenderamata daripada Rahmahjan.

TENOM: Penumpang termasuk pelancong asing di negeri ini digesa agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam yang memiliki permit yang sah, dikeluarkan oleh kerajaan.

Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Komersial (CVLB) Sabah Datuk Raime Unggi berkata, pengguna perlu bijak dalam memilih pengangkutan awam yang diperlukan dan wajar mengelak daripada menggunakan perkhidmatan yang tidak memiliki permit seperti kereta sapu.

“Pilihlah pengangkutan awam yang memiliki permit sah yang dikeluarkan oleh kerajaan seperti teksi, bas awam, kereta sewa dan lain-lain.

“Ini penting bagi menjamin keselamatan pengguna sekitaranya berlaku kemalangan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Program Membara-Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tenom Bersama Rakyat Di Hati Ku di Kampung Talibatang Lama, Kemabong, kelmarin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rungutan para pengusaha teksi di negeri ini mengenai perkhidmatan Uber (kereta sapu) tanpa permit yang beroperasi di Sabah. Kebanyakan pemandu teksi di bandar raya telah terasa tergugat dengan kehadiran perkhidmatan berkenaan.

Baru-baru ini pihak polis Kota Kinabalu telah menahan dua buah kenderaan dalam operasi membanteras perkhidmatan Uber yang semakin berleluasa dan mendapat permintaan yang tinggi di sekitar bandar raya.

Persatuan Pengusaha Teksi Kota Kinabalu juga telah mengadakan pertemuan dengan Raime bagi menyuarakan bantahan terhadapan Uber. Malah mereka meminta pihak berkuasa menghalang perkhidmatan ini dengan segera.

Raime yang juga Ahli Parlimen Tenom menegaskan, buat masa ini, Uber telah pun diharamkan beroperasi oleh CVLB Sabah kerana syarikat rangkaian pengangkutan itu merupakan perkhidmatan teksi ‘sapu’ yang berorientasikan aplikasi dalam talian.

Beliau mengulangi bahawa, CVLB mahu melayan semua pihak secara adil termasuk pemandu teksi sedia ada. Dan perkhidmatan teksi yang tidak berdaftar, adalah diharamkan.

Menurutnya, walaupun pengguna mempunyai hak untuk memilih rangkaian perkhidmatan yang diperlukan, adalah wajar mereka memilih yang memiliki permit dan bukan kenderaan awam yang tidak mendapat kelulusan.

Dalam pada itu, Raime mengingatkan pengusaha pengangkutan awam di negeri ini terus meningkatkan mutu perkhidmatan mereka supaya pengguna berasa yakin, selesa dan berbaloi menggunakannya.

“Pengusaha teksi sebagai contoh, mereka perlu menambah baik perkhidmatan yang disediakan termasuk memperkenalkan penggunaan ICT bagi menghadapi persaingan.

“Dalam zaman ICT ini, penyedia perkhidmatan pengangkutan awam perlu memanfaatkan kemudahan tersebut. Ini kerana mahu atau tidak, penggunaan ICT tidak dapat dielakkan pada masa akan datang, supaya berdaya saing.

“Tidak salah jika pengusaha teksi atau bas turut ‘upgrade’ perkhidmatan mereka dengan menyediakan kemudahan WIFI percuma kepada penumpang. Ini antara penambahbaikan yang boleh dibuat demi kepuasan pelanggan termasuk pelancong asing,” tambahnya.

Katanya, dalam menawarkan perkhidmatan lebih baik, para pengusaha perlu memastikan sistem hawa dingin kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan baik, kereta tidak berbau, di samping kadar tambang yang berpatutan.

Raime menegaskan, jika penumpang termasuk pelancong asing berpuas hati dengan perkhidmatan pengangkutan awam yang ada, pasti mereka akan terus menggunakannya di masa akan datang kerana itu adalah pilihan yang paling tepat.

“Untuk meyakinkan pengguna, pengusaha perlu memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan jujur demi kepuasan mereka,” tambahnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tenom Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan.