Padah promosi loteri

0

Tiga wanita ditangkap kerana mempromosi loteri awam tanpa lesen

TERIMA PADAH: Suspek wanita ditangkap selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mempromosikan loteri awam tanpa lesen. / BAHAN BUKTI: Antara barang-barang yang dirampas dalam serbuan Ops Dadu tersebut.

TERIMA PADAH: Suspek wanita ditangkap selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan mempromosikan loteri awam tanpa lesen. / BAHAN BUKTI: Antara barang-barang yang dirampas dalam serbuan Ops Dadu tersebut.

// Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Tindakan berani tiga wanita mempromosikan loteri awam secara terbuka tanpa lesen di kedai kopi di Taman Hui Sing membawa padah apabila mereka ditangkap selepas kegiatan haram itu dihidu pihak polis.

Ketiga-tiga wanita itu ditangkap dalam dua serbuan Ops Dadu berasingan yang dijalankan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuching kelmarin (Ahad).

Serbuan pertama yang dibuat kira-kira jam 4.45 petang membawa kepada penangkapan seorang wanita berusia 30 tahun dari Julau dan gadis berusia 18 tahun dari Simunjan.

Manakala serbuan seterusnya yang dijalankan kira-kira jam 4.55 petang menjurus kepada penangkapan gadis berusia 19 tahun dari Bakong.

Antara barang-barang dirampas dalam serbuan-serbuan itu termasuk telefon bimbit, mesin cetak mudah alih, kalkulator, slip loteri awam, alat tulis serta wang tunai berjumlah RM370.

Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan kes-kes tersebut ketika dihubungi semalam.