Oleh Saleman Senin//
BETONG: Sektor pelancongan boleh menjana sumber pendapatan kepada rakyat dengan adanya jaringan kerjasama padu antara rakyat di luar bandar dan kerajaan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Betong misalnya mampu menjadi destinasi pilihan pelancong jika potensinya dimanfaatkan sebaiknya.
“Dengan adanya warisan sejarah dapat dibangunkan dan menjadikan daya tarikan pelancong daripada luar berkunjung ke Betong seperti Bukit Sadok yang mempunyai sejarah tersendiri saya percaya hasrat menjadikan kawasan ini sebagai destinasi pilihan pelancong akan terlaksana.
“Pada masa sama kita boleh membangunkan kawasan untuk ‘homestay’ buat kemudahan kepada pelancong sebagai tempat tinggal,” katanya pada Regata Betong 2016 di Tebingan Layar di sini semalam.
Menurutnya, walaupun program ‘homestay’ masih belum dibangunkan dengan giat di kawasan ini beliau mahu Pejabat Residen Betong merangka satu pelan utama membangunkan pelancongan bagi kawasan Betong.
“Program ini kita harap dapat dilaksanakan dalam setahun akan datang kerana kita mempunyai kawasan yang boleh dijadikan tarikan dan kemudahan untuk tempat menginap.
“Kita ada rumah-rumah panjang, produk-produk kraf tangan, masakan tradisional, hutan-hutan yang menarik boleh dijadikan daya tarikan kepada pelancong dari seluruh dunia datang ke sini,” ujarnya.
Tambahnya, dengan siapnya Projek Pan Borneo nanti jaringan jalan raya bertambah baik memudahkan pengunjung sampai ke Betong.
“Program yang dirangka adalah sebagai salah satu transformasi kawasan luar bandar seperti diilhamkan oleh Ketua Menteri untuk melihat perancangan tercapai demi kesenangan rakyat keseluruhannya,” ujar beliau.
Dalam pada itu, bagi kawasan Saribas ada Pesta Buntal, Pesta Debak dan di Spaoh ada Pesta Spaoh dan sebagainya membuktikan kerajaan prihatin untuk membangunkan dan memajukan ekonomi rakyat di kawasan luar bandar.
Penganjuran Regata Betong atau aktiviti sukan air tidak diadakan dua tahun lalu kerana memberi peluang pembinaan tebingan sungai di bawah program tebatan banjir melibatkan kos lebih RM30 juta.
Dengan terbinanya tebingan diwujudkan struktur konkrit dapat mengindahkan kawasan tebingan sungai dan boleh dijadikan kawasan rekreasi dapat memberi ruang kepada pengunjung dengan aktiviti santai pada bila-bila masa.
Pada masa sama, beliau berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu dan merancang membina jeti untuk laluan ke sungai bagi keselesaan penduduk dan kemudahan untuk turun ke sungai.