Poliklinik Kuching adakan latihan praktikal penyelenggaraan elektrik di Kampung Singai

0

BAU: Politeknik Kuching Sarawak (PKS) berjaya mengadakan latihan praktikal pendawaian, penyelenggaraan dan keselamatan elektrik fasa satu kepada penduduk Kampung Singai di sini.

Latihan tersebut merupakan salah satu daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKS di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tahun ini.

Seramai 31 peserta terdiri daripada penduduk Kampung Singai menyertai program tersebut bermula pada 30 September dan berakhir semalam 8 Oktober.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, program NBOS oleh PKS ini merupakan pertama seumpamanya di Tasik Biru.

Malah katanya inisiatif yang dibuat oleh PKS ini telah terbukti berkesan dan memberi impak jangka panjang kepada rakyat terutama dalam kalangan peserta program ini.

“Tidak dinafikan bahawa penduduk kampung tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran mengenai pendawaian dan penyelenggaraan elektrik.

“Malah mereka termasuk saya sendiri mungkin tidak sedar bahawa kita kerap menggunakan elektrik secara berlebihan yang mana adalah berbahaya serta boleh menyebabkan berlakunya litar pintas.

“Tetapi, dengan adanya program ini, orang kampung kini tahu akan bahayanya penggunaan elektrik secara berlebihan serta kemahiran pendawaian dan penyelenggaraan elektrik yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan program tersebut di Dewan Sukan dan Rekreasi Singai di sini semalam.

Henry turut berharap program ini akan diteruskan di kawasan ini dan beliau menyumbang peruntukan sebanyak RM10,000 bagi program yang sama tahun depan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah PKS, Mohd Shah Yunus berkata program ini merupakan anjuran Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Mekanikal PKS.

Tujuannya, adalah untuk berkongsi pengetahuan dan kemahiran kepada kumpulan sasar serta meningkatkan semangat kesukarelaan antara pelajar dan masyarakat setempat.

Pada program ini, sebanyak tiga buah rumah telah dipilih untuk kerja pendawaian semula fasa satu oleh 10 pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik PKS.

“Kami berharap peserta program ini memperolehi pengetahuan mengenai pendawaian elektrik secara betul dan selamat dan menjadi titik permulaan kepada usaha PKS berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Selain berkongsi kemahiran dan pengetahuan mengenai pendawaian elektrik, peserta turut didedahkan dengan kemahiran asas penyelenggaraan kenderaan.

Pihak PKS turut mengadakan ceramah mengenai peluang pengajian dalam bidang teknikal dan vokasional kepada pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau.

Turut hadir, Pegawai Daerah Bau, Inting Nyami, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik PKS, Tan Kheng Wee serta yang lain.