Suspek buang bayi dicekup

0

Oleh Michael Ubam//

TUMPUAN UMUM: Keratan akhbar muka depan Utusan Borneo 6 Oktober lalu yang memaparkan kisah bayi dibuang di tepi jalan. Suspek (ibu bayi) berjaya ditangkap petang kelmarin dan ditahan reman hingga 12 Oktober ini.

TUMPUAN UMUM: Keratan akhbar muka depan Utusan Borneo 6 Oktober lalu yang memaparkan kisah bayi dibuang di tepi jalan. Suspek (ibu bayi) berjaya ditangkap petang kelmarin dan ditahan reman hingga 12 Oktober ini.

SIBU: Terpaksa berpantang dalam kemurungan dan bergari di katil wad Hospital Sibu.

Itulah ‘harga’ yang terpaksa dibayar oleh seorang wanita, 23, selepas berjaya dicekup petang kelmarin kerana dipercayai bertanggungjawab membuang seorang bayi lelaki yang ditemui oleh orang awam di tepi tong sampah di Jalan Lai Chee di sini, awal pagi Rabu lepas.

Usaha pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Sibu diketuai Inspektor Zuriati Khalid yang bertungkus-lumus menjalankan siasatan berhubung kes yang mendapat pelbagai reaksi dan tumpuan umum, akhirnya membuahkan hasil apabila suspek berjaya dijejaki sekitar jam 6 petang kelmarin.

“Polis telah berjaya menahan suspek di bawah Jambatan Sungai Selumit, Tanjung Manis, Sarikei petang semalam (kelmarin).

“Kegigihan pasukan penyiasat dengan kebijaksanaan risikan yang dibuat ternyata membuahkan hasil sehinggalah seorang suspek wanita berjaya ditangkap,” kata Ketua Polis Daerah Sibu ACP Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi Utusan Borneo, semalam.

Saiful Bahri berkata, usaha pasukan polis yang bekerja keras menjalankan siasatan termasuk bertemu penduduk sekitar berhampiran lokasi penemuan untuk mengumpul maklumat sejak hari pertama kes itu dilaporkan memang amat berbaloi.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Kampung Sebayang, Belawai, Sarikei dipercayai ketakutan selepas melahirkan anak luar nikah dan bertindak meletakkannya di tepi tong sampah sebelum melarikan diri ke kampung dengan menaiki bas.

Siasatan polis juga mendapati suspek bertindak sedemikian kerana dia belum berkahwin dan yakin tiada sesiapa mengetahui dia telah melakukan hubungan seks sehingga mengandung sebelum ini.

Menurut Saiful Bahri, selepas ditangkap suspek yang masih dalam keadaan kurang sihat berikutan melahirkan anak dihantar ke Hospital Sibu untuk menjalani pemeriksaan doktor.

“Suspek kini berada di wad bersalin untuk pemeriksaan doktor dan juga pengambilan sampel DNA akan dilakukan,” jelasnya sambil menambah suspek telah direman empat hari sehingga 12 Oktober ini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana disyaki membuang bayi.