Tun Taib dilantik Canselor UCTS

0
PENERAJU: Tun Taib (dua kanan) sambil diperhatikan (dari kiri) Wong, Adenan dan Abdul Hakim membaca watikah pelantikannya sebagai Canselor UCTS pada upacara Istiadat Pemasyhuran Canselor UCTS dan Majlis Konvokesyen Pertama UCTS di Sibu, semalam.

PENERAJU: Tun Taib (dua kanan) sambil diperhatikan (dari kiri) Wong, Adenan dan Abdul Hakim membaca watikah pelantikannya sebagai Canselor UCTS pada upacara Istiadat Pemasyhuran Canselor UCTS dan Majlis Konvokesyen Pertama UCTS di Sibu, semalam.

SIBU: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dilantik Canselor Universiti Kolej Teknologi Sarawak (UCTS) pada upacara Istiadat Pemasyhuran Canselor di sini semalam.

Pemasyhurannya dibuat sempena Majlis Konvokesyen Pertama UCTS diisytiharkan oleh Naib Canselor UCTS Profesor Datuk Dr Abdul Hakim Juri.

Abdul Hakim berkata, pelantikan Tun Taib sebagai Canselor UCTS adalah sejajar dengan usaha kerasnya menubuhkan universiti itu pada 2012 seterusnya menyediakan peruntukan pembinaannya semasa beliau menjadi Ketua Menteri ketika itu.

Jelasnya, Tun Taib banyak menyumbang kepada pembangunan Tenaga Korridor Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan selaras dengan penubuhan UCTS berasaskan sains dan teknologi.

Menurutnya, negeri ini kini memfokuskan sektor perindustrian dalam mengembangkan ekonominya dan UCTS turut terlibat dalam melahirkan tenaga mahir bidang tersebut.

Bercakap mengenai UCTS, Abdul Hakim memberitahu bahawa kampus itu mempunyai seramai 1,630 orang pelajar setakat ini dan menawarkan sebanyak 18 program.

“Tiga lagi program baharu akan dibawa masuk ke UCTS untuk diperkenalkan pada tahun depan,” katanya.

Sehubungan itu, jelasnya, sebanyak 20 syarikat telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UCTS dalam menjayakan program pembelajaran.

“UCTS sangat rapat dengan pelbagai industri di negeri ini justeru ia sangat relevan ditubuhkan memandangkan negeri ini menjadikan SCORE sebagai sumber,” tambahnya.

Dalam pada itu, Abdul Hakim turut menyifatkan Pengerusi Majlis UCTS merangkap Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh sebagai ‘bapa UCTS’.

Ini kerana, katanya, Wong terlibat secara langsung dalam menubuhkan UCTS di sini.

“Kita mengucapkan berbanyak terima kasih dan penghargaan atas usaha beliau. Tanpa beliau, UCTS tidak akan wujud di sini,” katanya.

Sementara itu, Tun Taib melahirkan rasa penghargaannya kepada UCTS kerana memberi kepercayaannya menerajui universiti tersebut sebagai Canselor.

“Pelantikan ini adalah satu penghormatan kepada diri saya. Sebagai sebuah universiti baharu berusia tiga tahun sudah tentu mempunyai banyak kelemahan.

“Marilah kita bersama-sama berusaha menjayakan universiti ini berperanan kepada pembangunan ekonomi Sarawak menerusi SCORE,” katanya.

Beliau memberitahu, untuk merealisasikannya perlu mengambil masa dan tidak boleh bergerak seorang tanpa penglibatan dari pelbagai organisasi dalam UCTS.

Hadir sama isterinya Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem serta isteri Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu, Pengerusi Majlis UCTS merangkap Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh serta isteri Datin Sri Pauline Leong serta tetamu lain.

Seramai 100 orang graduan menamatkan pengajian peringkat Sarjana Muda mengikut jurusan masing-masing. Ini merupakan graduan yang mengikut program Sarjana Muda pada 2013.

Penubuhan UCTS diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia pada 8 Ogos 2012.

Pembinaan kampus UCTS berkeluasan 95 ekar di Sungai Seduan, Sibu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada majlis pecah tanah pada 16 September 2012.

UCTS mula beroperasi pada 1 April 2013 setelah diluluskan pendaftaran oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

UCTS diuruskan oleh Edusar Resources Sdn Bhd (ERSB), sebuah syarikat dimiliki penuh oleh kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Setiausaha Kewangan Negeri (SFS Incorporated).