Badminton: Piala SDNU Sibu perluas penyertaan

0
AYUH SERTAI KAMI: Chambai (tengah), Patrick (empat kiri) menunjukkan borang penyertaan Piala SDNU Sibu ketika meninjau keadaan gelanggang di Sibu kelmarin.

AYUH SERTAI KAMI: Chambai (tengah), Patrick (empat kiri) menunjukkan borang penyertaan Piala SDNU Sibu ketika meninjau keadaan gelanggang di Sibu kelmarin.

SIBU: Sambutan amat menggalakkan terhadap sukan badminton di kalangan masyarakat Dayak memberi galakan kepada Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu untuk memperluaskan penyertaan bagi Piala SDNU Sibu yang akan berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober ini.

Pengerusi SDNU Sibu Chambai Lindong berkata, sebelum ini pertandingan tersebut hanya terbuka kepada zon tengah sahaja iaitu merangkumi bahagian Sibu, Kapit, Sarikei dan Mukah.

“Namun, ahli jawatankuasa pengelola yang diketuai oleh Patrick Gerijeh serta ahli Exco SDNU Sibu bersetuju untuk melebarkan pertandingan ini kepada Pertandingan Badminton Dayak Tertutup Piala SDNU Sibu.

“Justeru, pertandingan ini terbuka kepada semua Dayak di negeri ini asalkan warganegara Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini, malam kelmarin.

Terdahulu, Chambai sambil diiringi Patrick dan naib pengerusi pengelola Stanley Bayang meninjau gelanggang Dewan SMK Bukit Assek di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce yang akan digunakan sebagai venue pertandingan.

Mengulas mengenai pertandingan itu, Chambai memberitahu ia merupakan pertandingan antara beregu terbuka.

“Ia diadakan dalam dua kategori sahaja iaitu beregu lelaki terbuka dan beregu lelaki veteran,” katanya lagi.

Beliau menegaskan pemain yang pernah mewakili negeri ke mana-mana kejohanan di peringkat kebangsaan adalah dilarang untuk menyertai kejohanan itu.

Menurutnya, kategori beregu lelaki terbuka mengehadkan umur 16 tahun ke atas manakala kategori veteran hendaklah berumur 40 tahun ke atas.

“Ia merujuk kepada bangsa Dayak sahaja yang merangkumi Iban, Bidayuh dan Orang Ulu sahaja.

Bagi mereka yang kacukan, bapa mestilah berbangsa Dayak.

“Bagi memastikan ia adalah benar, peserta hendaklah mengemukakan kad pengenalan asal dan sijil lahir asal bapa sebagai sokongan mereka untuk menyertai kejohanan ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Chambai memberitahu juara bagi keduadua kategori akan membawa pulang wang tunai RM500 berserta trofi dan medal, manakala naib johan menerima RM300 berserta trofi dan medal, manakala tempat ketiga pula akan menerima RM200 berserta medal dan tempat keempat menerima RM100 sebagai hadiah sagu hati.

Katanya, cabutan undi akan diadakan pada 28 Oktober, jam 3 petang bertempat di Dewan SMK Bukit Assek.

Borang penyertaan boleh diperolehi dengan menghubungi Patrick menerusi talian 019- 8780129 atau Stanley Bayang (019-4838343).