FINA: Penerjun terbaik dari lapan negara bakal berkampung di Kuching

0

KUCHING: Penerjun terbaik dari lapan negara bakal berkampung selama tiga hari bagi menyertai Grand Prix Terjun Dunia FINA yang berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober ini di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Sarawak (SSC), Dr Ong Kong Swee berkata setakat ini 43 penerjun mewakili Malaysia, China, Singapura, Rusia, Hong Kong, Amerika Syarikat, Kanada dan Australia telah mengesahkan penyertaan.

“Ini adalah kali pertama kejohanan ini dianjurkan di luar Kuala Lumpur di mana lazimnya ia diadakan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Ini satu penghormatan diberikan kepada Sarawak sebagai tuan rumah kejohanan bertaraf dunia itu,” katanya pada sidang media di Stadium Negeri, Petra Jaya semalam.

Menurut Ong, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS) bekerjasama sebagai penganjur utama kejohanan tersebut yang turut mendapat tajaan syarikat Milo sambil dibantu beberapa agensi kerajaan.

Jelasnya, China akan menghantar penyertaan terbesar dengan seramai 12 penerjun manakala Malaysia mempertaruh 10 penerjun termasuk pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Cheong Jun Hoong.

“Malangnya, Pandelela Rinong tidak dapat turut serta kerana masih mengalami kecederaan.

Tetapi, beliau akan datang di sini pada hari kejohanan,” katanya.

Bilangan peserta negara-negara lain ialah Amerika Syarikat (6), Kanada (5), Australia (4), Hong Kong (2), Rusia (2) dan Singapura (2).

Menjelas lanjut, Ong berkata SSC juga memohon untuk menjadikan kejohanan itu sebagai acara tahunan di sini.

Katanya, SSC juga sedang menunggu kelulusan untuk menjadi penganjur kejohanan badminton bertaraf dunia, Malaysia Masters yang akan diadakan di Sibu.

“Dengan menganjurkan beberapa kejohanan seperti ini, kita dapat memaksimakan penggunaan fasiliti sukan terbaik yang ada di sini dengan sebaik-baiknya.

“Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti (KBSS) dan SSC amat menyokong inisiatif ASAS mempromosi sukan akuatik dan membangunkan program renang peringkat akar umbi,” katanya.

Hadir sama Ketua Penolong Setiasaha (Sukan) KBSS, Usop Kilat dan Setiausaha ASAS, Anthony Kong.