Terus perjuang hak

1
TERUJA: Ketibaan Adenan dan isteri, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu disambut meriah oleh anak-anak Sarawak yang menghadiri ‘Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2-16’ di Kuala Lumpur, semalam.

TERUJA: Ketibaan Adenan dan isteri, Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu disambut meriah oleh anak-anak Sarawak yang menghadiri ‘Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2-16’ di Kuala Lumpur, semalam.

Sarawak bukan koloni, mahu kuasa dikembalikan semula oleh kerajaan pusat: KM

Daripada Mohd Shafik Ahmad //

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menegaskan pendiriannya akan terus memperjuangkan hak Sarawak kerana tidak mahu terus dianggap sebagai koloni kerajaan persekutuan.

Beliau berkata, Sarawak mempunyai peranan besar yang turut menyumbang dalam pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

“Saya akan terus membela nasib Sarawak dalam Malaysia kerana tidak mahu kita dianggap sebagai koloni dalam Malaysia.

“Kita masuk sama dengan Sabah, menerusi perjanjian yang tidak boleh diubah walaupun dari segi perlembagaan,” tegas Adenan.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab pada slot Santai Bersama Tok Nan sempena ‘Program Lan Berambeh Anak Sarawak 2016’ di Dewan Merdeka PWTC, semalam.

Adenan berkata, Malaysia tidak akan wujud sekiranya Sarawak menolak gabungan itu pada tahun 1963.

Namun, katanya, kuasa yang diberikan kepada Sarawak terhakis akibat tiada pemimpin yang menyuara dan memperjuangkan perkara itu.

“Maka, apabila saya menjadi Ketua Menteri, saya membangkitkan kuasa yang dimiliki Sarawak, demi hak yang sememangnya kepunyaan negeri kita,” katanya.

Beliau mendedahkan, tuntutan hak autonomi Sarawak mendapat reaksi positif daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersetuju untuk mengembalikan kuasa itu semula.

“Kita mahu apa yang dijanjikan kepada kita dikembalikan, malah semua termasuk kewujudan parti baharu turut menyokong usaha memperjuangkan hak Sarawak,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Adenan berkata kerajaan negeri akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan luar bandar yang jauh ketinggalan.

Justeru, ujarnya, keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri sentiasa berusaha dan menekankan aspek pembangunan luar bandar sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.

“Sekarang, kalau mahu cari orang miskin pergi luar bandar dan cari orang kaya pergi ke kawasan bandar,” kata Adenan.

Menyentuh sektor perindustrian, jelasnya, ia merupakan salah satu keutamaan dalam usaha memaju pembangunan ekonomi negeri termasuk menyediakan peluang pekerjaan.

Menerusi pendekatan itu, Adenan berkata, ia berjaya menarik kedatangan pelabur asing sekali gus menghasilkan tenaga kerja berkemahiran.