Sebelas wanita Vietnam ditahan

0
OPS NODA: Wanita-wanita Vietnam yang bekerja di sebuah pusat urut dibawa ke IPD Kuching.

OPS NODA: Wanita-wanita Vietnam yang bekerja di sebuah pusat urut dibawa ke IPD Kuching.

KUCHING: Seramai 11 wanita Vietnam ditangkap dalam serbuan Ops Noda di sebuah pusat refleksologi di Jalan Tun Jugah di sini.

Bertindak atas maklumat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching yang diketuai ASP Ooi Jin Bing menjalankan serbuan itu sekitar jam 5.45 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, pemilik premis iaitu seorang lelaki berusia 35 tahun dari Skim Penempatan Stampin, Jalan Stutong turut ditangkap dalam serbuan tersebut.

“JSJ IPD Kuching diketuai ASP Ooi Jin Bing telah melakukan serbuan di rumah urut di Jalan Tun Jugah dan menangkap pemilik serta pekerja-pekerja premis berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau, tangkapan itu dibuat apabila melanggar Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Akta Imigresen dan Peraturan 39 (B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Polis turut merampas lesen perniagaan, lesen Ordinan Perniagaan Profesion dan Pelesenan Perdagangan serta buku catatan pelanggan dalam serbuan berkenaan.