Pusat Akuatik Sarawak bakal ‘bergegar’

0

KUCHING: Pusat Akuatik Sarawak, Petra Jaya bakal digegarkan dengan kehadiran 43 orang penerjun dari lapan buah negara iaitu Malaysia, China, Amerika Syarikat, Australia, Russia, Singapura, Hong Kong dan Kanada.

Acara yang julung kali diadakan di sini merupakan penganjuran di luar dari Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan akhbarnya semalam, Kejohanan Federation Internationale De Natation (FINA) World Diving Grand Prix merupakan anjuran Amateur Swimming Union of Malaysia (ASUM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak bakal diadakan mulai 21 hingga 23 Oktober ini.

Pusat Akuatik Sarawak Petra Jaya merupakan pusat akuatik baharu selesai digunakan untuk temasya Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) dan Paralimpiad ke-18 sekali lagi diiktiraf dan diberi kepercayaan menganjurkan acara bertaraf dunia itu.

Sebanyak 10 acara terjun iaitu 3 meter springboard, 3 meter platform, 10 meter platform, 10 meter platform synchro dan 3 meter springboard synchro diadakan.

Hadiah berupa wang sebanyak $500 USD untuk tempat pertama, $300 USD untuk tempat kedua dan $200 USD untuk tempat ketiga bakal menanti pemenang-pemenang pada kejohanan tersebut.

Majlis perasmian akan diadakan pada 21 Oktober ini jam 9 pagi bakal dihadiri oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Masyarakat dan peminat sukan terjun dijemput datang beramai-ramai bagi menyaksikan kejohanan itu.