Sebuah lagi kolej komuniti akan dibuka di Sarawak

0
TAMAT PENGAJIAN: Sebahagian daripada 270 graduan kolej komuniti yang menerima sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen di DUN Lama di Kuching semalam.

TAMAT PENGAJIAN: Sebahagian daripada 270 graduan kolej komuniti yang menerima sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen di DUN Lama di Kuching semalam.

KUCHING: Sebuah lagi kolej komuniti baharu akan dibuka di negeri ini iaitu Kolej Komuniti Cawangan Sibu yang berkonsepkan Strategi Lautan Biru antara Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Kolej Komuniti Kuching.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Amir Md Noor berkata pembukaan kolej baharu ini adalah bagi memperluaskan lagi akses pendidikan kepada masyarakat di negeri ini.

“Kewujudan kolej komuniti sebagai peneraju pembelajaran sepanjang hayat telah memberi peluang kepada masyarakat setempat dan individu yang berminat untuk memperoleh serta mendalami pelbagai ilmu dan latihan kemahiran.

“Sehingga kini, terdapat sebanyak 93 kolej komuniti di seluruh negara termasuk enam di Sarawak.

“Justeru, bagi memperluaskan lagi akses pendidikan kepada masyarakat di Sarawak, sebuah lagi kolej komuniti baharu akan dibuka di negeri ini iaitu Kolej Komuniti Cawangan Sibu,” kata Amir.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibaca Timbalannya Mohd Nasir Abd Ghani sempena  Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sarawak 2016 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama di sini semalam.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar.

Selain pembukaan sebuah lagi kolej baharu di Sarawak, Kolej Komuniti Kuching merupakan satu-satunya di negeri ini yang menawarkan program Sijil Kolej Komuniti Kemahiran Khas bagi Program Sijil Asas Jahitan Kreatif.

Malah katanya, seramai 10 graduan perintis yang lahir daripada Program Sijil Kolej Komuniti Kemahiran Khas ini menerima sijil masing-masing pada majlis konvokesyen semalam.

“Sijil Kolej Komuniti Kemahiran Khas dibangunkan berdasarkan keperluan pelajar yang bermasalah pembelajaran dan memerlukan ilmu serta kemahiran untuk mengupayakan mereka agar lebih berdikari sekali gus mampu menjana pendapatan sendiri.

“Pada masa ini, kita menawarkan tujuh program Sijil Komuniti Kemahiran Khas di 12 buah Kolej Komuniti di seluruh negara termasuk di satu program di Kolej Komuniti Kuching,” ujarnya.

Mengulas mengenai majlis konvokesyen tersebut, Amir berkata seramai 270 graduan menerima sijil masing-masing.

Daripada jumlah itu, seramai 123 graduan adalah daripada Kolej Komuniti Kuching, 50 graduan Kolej Komuniti Mas Gading, 38 graduan Kolej Komuniti Miri, 36 graduan Kolej Komuniti Santubong dan 23 graduan Kolej Komuniti Betong.

Konvokesyen itu semalam turut menyaksikan penyampaian Anugerah Industri, Anugerah Pelajar Cemerlang dan Anugerah Ketua Pengarah.

Anugerah Ketua Pengarah diberikan kepada Khairul Anuar Gerardo, yang merupakan graduan Sijil Pelukis Pelan Senin Bina daripada Kolej Komuniti Kuching dan kini sedang melanjutkan pengajian pada peringkat Diploma Kejuruteraan di Politeknik Kota Kinabalu.