Akta bekerja sendiri untuk pemandu teksi dilaksana tahun depan: Riot

0

KUALA LUMPUR: Satu akta baharu yang akan dikenali sebagai Akta Bekerja Sendiri bertujuan mengurus tadbir skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pemandu teksi akan dilaksanakan tahun depan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata rang undang-undang berkaitan akta itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Mac depan.

“Saya percaya akta ini adalah sangat mudah dan akan mengambil masa sebulan atau dua bulan untuk diluluskan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penjenamaan semula PERKESO 2016, di sini semalam.

Riot berkata akta itu jika diluluskan kelak akan memastikan pemandu teksi dan waris dapat menerima faedah seperti dinikmati pekerja lain yang berada di skim kontrak bagi perkhidmatan.

Dalam pembentangan Bajet 2017 Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan skim PERKESO kepada pemandu teksi individu yang berpendapatan sehingga RM3,000 sebulan akan diperkenalkan dengan geran pelancaran RM60 juta.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata di bawah skim itu, pemandu teksi perlu membuat caruman pada kadar RM157 hingga RM443 setahun, iaitu hanya RM13.08 sebulan.

Mengulas lanjut mengenai kaedah potongan skim tersebut, Riot berkata kementerian dan PERKESO akan membuat kajian terperinci bagi memastikan ianya benar-benar memberi manfaat kepada pemandu teksi atau pewarisnya.

“Lebih-lebih lagi teksi adalah di bawah selian Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Kita telah membuat perbincangan dengan mereka dan akan mengadakan perbincangan selanjutnya untuk memastikan skim baru ini memberi manfaat kepada pemandu teksi individu dan waris,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata pihaknya telah mengerakkan skuad PERKESOPrihatin untuk  mendapatkan maklumat mengenai nilai pampasan setimpal bagi mangsa dan petugas susulan insiden kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah kelmarin.

Skuad PERKESO Prihatin adalah antara langkah penjenamaan semula PERKESO yang bertujuan melaksanakan gerakan proaktif cepat dan responsif terhadap kes-kes yang dilaporkan melalui media.

Antara usaha penjenamaan semula lain yang telah bermula akhir tahun 2015 ialah memperkenalkan logo PERKESO Prihatin, memperkasakan mutu perkhidmatan di kaunter dan mempromosikan skim-skim perlindungan keselamatan sosial yang sedia ada. — Bernama