Kes tembak selesai

0
SELESAI: Suspek utama diiringi polis ke kawasan senapang patah yang dipercayai digunakan dalam kes tembak di Ulu Sungai Arip.

SELESAI: Suspek utama diiringi polis ke kawasan senapang patah yang dipercayai digunakan dalam kes tembak di Ulu Sungai Arip.

BAHAN BUKTI: Senapang patah dipercayai digunakan untuk menembak mangsa pada 24 Oktober lalu.

BAHAN BUKTI: Senapang patah dipercayai digunakan untuk menembak mangsa pada 24 Oktober lalu.

Oleh Saibi Gi //

KUCHING: Dalam tempoh tiga hari polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah ladang kelapa sawit di Ulu Sungai Arip, Balingian pada Isnin susulan penangkapan suspek utama pada petang semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata seorang lelaki diberkas sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D9, Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak bersama JSJ Mukah pada jam 2.30 petang semalam.

Suspek yang berumur 54 tahun itu ditangkap di sebuah rumah panjang di Sungai Arip, dekat Mukah.

“Suspek ini telah membawa pasukan polis ke satu kawasan semak di mana satu senapang patah disembunyikan.

“Senapang patah ini dipercayai telah digunakan untuk menembak mangsa pada 24 Oktober 2016,” katanya menerusi satu kenyataan.

Semalam juga, pada jam 12.30 tengah hari, sembilan lelaki berumur antara 18 hingga 45 tahun telah menyerah diri di Balai Polis Pusat Miri.

Empat daripada mereka adalah suspek dikehendaki yang dihebahkan menerusi media.

Sembilan lelaki ini telah ditahan dan akan dibawa ke Mukah untuk siasatan lanjut.

Setakat ini, 22 orang telah ditangkap berhubung kes ini, iaitu 10 penduduk rumah panjang dan 12 lelaki dari Miri.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Task Force diketuai Ketua JSJ Sarawak Datuk Dev Kumar kerana berjaya menyelesaikan kes bunuh ini dalam tempoh tiga hari,” katanya.

Kejayaan itu turut mendapat ucapan tahniah daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi Twitternya.

Pada Isnin lepas, kira-kira jam 6 petang, cubaan sekumpulan lelaki yang dikatakan merempuh sekatan di jalan masuk ke sebuah ladang menyebabkan Fabian Janti Lebau, 26, terbunuh.

Berlaku pertengkaran antara kumpulan mangsa dengan pihak yang melakukan sekatan sebelum mangsa ditembak dipercayai menggunakan senapang patah sehingga menyebabkan kematian.

Mangsa ditemui mati dalam keadaan tertiarap di tepi jalan masuk ke ladang berkenaan dipercayai akibat ditembak menggunakan senapang patah di bahagian bawah rusuk kanan dan terdapat kesan tetakan di kepala.

Selain itu, siasatan di tempat kejadian turut menemui dua kelongsong peluru berdekatan mayat mangsa dan tempat kejadian yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat sekatan yang didirikan penduduk setempat.