Thursday, January 27

MNC 2016 sokong, putuskan deklarasi rumpun ‘Momogun’

0

KOTA KINABALU: Penganjuran Konvensyen Momogun Nasional (MNC) 2016 merupakan sejarah penting kerana ia akan memutuskan serta menyokong deklarasi penerimaan istilah ‘Momogun’ sebagai rumpun bagi penduduk di Sabah yang bertutur dalam bahasa Murutik, Dusunik dan Paitanik.

Presiden Pengasas dan Penasihat Kehormat MNC Tan Sri Bernard Dompok berkata pihaknya berharap istilah rumpun Momogun dapat diterima masyarakat dan kerajaan negeri Sabah serta kerajaan persekutuan untuk digunakan sebagai identiti nasional dan diguna pakai dalam borang rasmi kerajaan.

“Masyarakat yang berkaitan sudah lama tidak berpuas hati kerana nama etnik atau rumpunnya tidak terdapat dalam borang rasmi kerajaan. Selama ini mereka diklasifikasikan di bahagian ‘lain-lain’,” katanya ketika berucap merasmikan MNC 2016 di sini, semalam.

Dompok berkata Momogun bukan perkataan yang baharu atau diciptakan oleh MNC, ia telah digunakan sejak zaman nenek moyang penduduk di Sabah yang bertutur dalam bahasa Murutik, Dusunik dan Paitanik.

“Penggunaan dan penerimaan Momogun sebagai rumpun dan identiti nasional, tidak akan menghilangkan nama-nama etnik dan subetnik yang sudah sedia ada.

“Nama semua etnik dan subetnik tetap akan dikekalkan buat selama-lamanya.

Semua etnik dan subetnik ini malah akan diperkasakan lagi oleh persatuan masing-masing dan MNC, sekiranya diperlukan,” katanya.

Sehubungan itu, Dompok meminta semua pihak berganding bahu menyokong objektif MNC yang ingin memperkukuh dan menyatukan pelbagai etnik dan subetnik dalam satu rumpun serta memperkasa pencapaian sosioekonomi, pendidikan dan pelbagai bidang lagi bagi masyarakat di bawah kumpulan Dusunik, Murutik dan Paitani.

“Semasa perbincangan, para pemimpin di konvensyen ini perlu mengutamakan suasana damai dan rasa kasih sayang. Guna perkataan yang terpilih dan terbaik agar tidak saling menyakiti hati mana-mana pihak,” katanya.

Turut hadir pada konvensyen itu Presiden MNC Datuk Henrynus Amin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana MNC 2016 dan wakil dari 26 persatuan atau pertubuhan orang asal negeri Sabah termasuk Persatuan Murut Sabah, Persatuan Kebudayaan Tatana Sabah, Persatuan Lundayeh, Persatuan Tobilung Bersatu Sabah, dan Persatuan Bangsa Tombonuo Sabah.

Sementara itu, Dompok berkata MNC perlu menjalin kerjasama dengan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan untuk membincangkan pelbagai isu, termasuk isu kemasyarakatan demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

“Terdapat ruang yang luas dalam MNC untuk membincangkan perkara penting serta isu relevan termasuk menganjurkan perbincangan antara agama kerana di Malaysia khususnya di Sabah terdiri daripada masyarakat yang berbilang agama dan kaum,” katanya.

Dompok berkata, adalah menjadi satu kebanggaan dan kegembiraan sekiranya MNC dapat bekerjasama dan membantu NGO yang lain…namun perbincangan mestilah dijalankan secara profesional serta fikiran yang matang.

“Perbincangan hanya akan dapat membuahkan hasil apabila para peserta yang berbincang dapat memisahkan diri daripada agenda peribadi masing-masing,” tambahnya. — Bernama