Sarawak tidak terpencil terima dana tangani banjir

0

Oleh Jessica Jawing//

PERUNTUKAN: Wan Junaidi menyerahkan cek geran MRP kepada wakil pertubuhan sambil disaksikan Feona (kanan) serta yang lain, semalam.

PERUNTUKAN: Wan Junaidi menyerahkan cek geran MRP kepada wakil pertubuhan sambil disaksikan Feona (kanan) serta yang lain, semalam.

KUCHING:  Sarawak tidak akan terpencil daripada menerima peruntukan khususnya bagi menangani masalah banjir di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jika sebelum ini negeri yang jauh seperti Sarawak, Sabah dan Perlis tertinggal daripada perancangan pembangunan.

“Namun, sebagai wakil rakyat, saya berasa kementerian ini banyak memberi faedah serta sumbangan kepada Sarawak dan tidak dipencilkan, khususnya peruntukan menangani masalah berhubung banjir dan sebagainya.

“Kementerian akan terus melaksanakan projek tebatan banjir di Kuching dan Sibu yang kini masih dalam fasa lakaran (drawing). Sejurus sahaja selesai, kita akan melancarkan pembinaannya,” ujarnya sambil menambah projek berkenaan menelan kos RM150 juta bagi tebatan banjir di Kuching dan RM100 juta bagi projek di Sibu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian pada Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan sumbangan BAKTI oleh isterinya Datin Seri Feona Junaidi di Dewan Serbaguna Pusat Khidmat Parlimen Santubong di sini, semalam.

Selain itu di kawasan Parlimen Santubong, beberapa projek benteng laut kini dalam fasa pelaksanaan iaitu di Kampung Buntal selain di Santubong, Sematan dan Lundu.

Katanya, sebagai wakil rakyat beliau akan berusaha untuk membantu masyarakat di kawasannya yang pelbagai kaum tanpa mengira bangsa dan agama mereka.

“Saya akan berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan masyarakat majmuk, sama ada Iban, Melayu, Cina atau Bidayuh.

“Saya tidak akan membezakan mereka dan menyampaikan keperluan mereka sebaik mungkin dan tidak akan berbelah bahagi,” katanya.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan peruntukan sebanyak RM173,500 kepada 70 persatuan dan pertubuhan sementara Feona menyampaikan RM800 kepada seorang mangsa kebakaran di Kampung Bintawa Hilir.