Tekan nilai moral dalam pembelajaran harian sekolah

0
TAHNIAH: Dennis menyampaikan sijil pengiktirafan jasa kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Jalong (kiri).

TAHNIAH: Dennis menyampaikan sijil pengiktirafan jasa kepada salah seorang penerima sambil disaksikan oleh Jalong (kiri).

MIRI: Tenaga pengajar diingat supaya memberi penekanan nilai  moral dalam kalangan anak didiknya dalam pembelajaran harian.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr. Penguang Manggil berkata, pendekatan itu penting bagi melahirkan anak didik mempunyai nilai moral tinggi dan berjaya dalam kehidupan masing-masing.

“Pendidikan baik bukan hanya bergantung kepada sikap seseorang individu tetapi juga tertumpu kepada perwatakan dibawa. Justeru, warga guru harus menunjuk nilai moral  baik  dari hari ke hari dalam pendidikan.

“Tambahan pula, pada arus zaman semakin maju ke depan, guru perlu turut seiring pembangunan berkenaan,” katanya.

Penguang berkata demikian dalam majlis sambutan Perayaan Hari Guru dan Apresiasi Peringkat Daerah Baram Tahun 2016, bertempat di Hotel Pullman Waterfront Miri, di sini pada malam Jumaat lalu.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau, Pegawai Pendidikan Daerah Baram Seripah Azizah Wan Hussain dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Baram Jalong Wan.

Menurut beliau yang juga ADUN Marudi, dalam memastikan pembangunan sekolah dicapai khususnya di kawasan Baram dan beliau berusaha mendapatkan dana daripada kerajaan pusat.

Katanya, sejak menjadi wakil rakyat pada Mei lalu, beliau telah memperuntukkan untuk beberapa sekolah dibawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Jelas Penguang, melalui RTP berkenaan, RM150,000 telah diperuntukkan untuk SJKC Sg. Jaong untuk membina semula bilik darjah dan asrama, SK Beluru (RM100,000) untuk membina sebuah dewan serbagunan, SK Entulang (RM300,000) untuk membina sebuah dewan serbaguna dengan bumbung, SMK Tinjar (RM250,000) untuk membina dewan serbaguna dengan bumbung, SMK Bakong (RM250,000) untuk membina sebuah gelanggang serbaguna dengan bumbung, RM200,000 untuk kegunaan SK Peking dan RM250,000 bagi kegunaan SK Lapok.

“Peruntukan ini adalah untuk kegunaan sekolah terbabit dan ini  juga antara usaha yang saya lakukan bagi kepentingan pendidikan dan kesannya terhadap masyarakat di Baram,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, bagi mengetahui lanjut berhubung keperluan yangdiperlukan oleh sekolah di konstuensinya, Penguang turut mengadakan lawatan ke sekolah dua minggu lalu.

“Lawatan itu adalah bagi melihat secara dekat keperluan atau kemudahan diperlukan sekolah. Saya sebagai wakil rakyat berusaha membantu dan memberi terbaik demi masa depan anak,” tambahnya.

Sementara itu, majlis yang disertai sekitar 800 warga pendidik Baram turut diserikan persembahan dan cabutan bertuah serta penyampaian anugerah khas serta sijil pengiktirafan kepada kakitangan pendidik bersara.