Hafizh, Ramdan pamer aksi terbaik perlumbaan Moto2 GP Malaysia

0

SEPANG: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan Ramdan Rosli mempamerkan aksi memberansangkan pada perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia dengan masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima dan ke-12.

Hafizh yang bermula dari petak 14 beraksi dengan cukup bertenaga untuk membuat pintasan demi pintasan sehingga berjaya menduduki kelompok lima terbaik dalam perlumbaan itu.

“Perlumbaan tadi agak sukar bagi saya tetapi dengan berbekalkan semangat juang dan keyakinan yang tinggi saya berjaya atasi semua itu.

“Masa perlumbaan saya hampir-hampir terjatuh tetapi saya dapat mengawal keadaan dan terus mengejar pelumba lain,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan itu semalam.

Hafizh yang juga dikenali sebagai ‘Pescao’ menjelaskan bahawa beliau serasi dengan keadaan litar yang basah dan berlumba dalam keadaan hujan.

“Saya rasa perlumbaan ini merupakan perlumbaan terbaik saya sepanjang berlumba di Litar Sepang dan pujian juga harus diberikan kepada pasukan saya yang menyiapkan jentera dalam keadaan yang baik,” kata pelumba Petronas Raceline Malaysia itu.

Sementara itu, Ramdan Rosli dari pasukan Petronas AMH Malaysia yang berlumba atas tiket ‘wildcard’ juga tidak mengecewakan.

Beliau berjaya mengutip empat mata di kedudukan ke-12 dan itu merupakan mata pertamanya selepas membuat penampilan kali kedua dalam kelas Moto2 musim ini.

“Perlumbaan pada hari ini (semalam) saya berasa agak kecewa kerana pada permulaan saya sedikit terlewat dan di selekoh yang pertama juga saya melakukan kesilapan.

“Lima atau enam pelumba berjaya memintas saya sehingga saya turun di kedudukan ke-21.

“Tetapi selepas beberapa pusingan saya cuba dapatkan balik rentak dan kekal fokus pada tunggangan untuk menamatkan perlumbaan di tempat ke- 12,” katanya.

Penunggang Ajo Motorsports, Johann Zarco mengekalkan kejuaraan dunia kelas Moto2 selepas muncul juara pada perlumbaan semalam.

Pelumba dari Perancis itu mencatat masa 45 minit 51.

036 saat, mengatasi pencabarnya, Franco Morbidelli (Estrella Galicia 0,0 Marc) dan Jonas Folger (Dynavolt Intact GP) yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dengan catatan 45:54.292 dan 45:54.725s. — Bernama