Tuesday, October 20

Pekan Buso akan diwarta sebagai Pekan Warisan

0
RUMAH WARISAN: Johari (empat kiri) bersama  Henry (tiga kiri) serta yang lain bergambar di hadapan sebuah rumah tinggalan lama di Kampung Buso yang akan diwartakan sebagai Rumah Warisan.

RUMAH WARISAN: Johari (empat kiri) bersama Henry (tiga kiri) serta yang lain bergambar di hadapan sebuah rumah tinggalan lama di Kampung Buso yang akan diwartakan sebagai Rumah Warisan.

Akan menjadi Pekan Warisan kedua di daerah Bau selepas pekan Siniawan, kata Abang Johari

Oleh Agnes Tugong //

BAU: Pekan Buso akan diwarta sebagai Pekan Warisan  kedua di daerah ini selepas pekan Siniawan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata Buso menyimpan sejarah tersendiri yang perlu dipertahankan.

Malah katanya, ketika perang dunia kedua, Buso merupakan tempat untuk penduduk dari Kuching melarikan diri dan berlindung daripada perang.

“Saya akan menghantar pegawai muzium untuk melihat tinggalan khazanah yang terdapat di Buso ini untuk kita pelihara dan pamerkan kepada masyarakat luar seperti di Siniawan yang sudah terkenal hingga ke China.

“Sebagai permulaan, jika diizinkan kita akan mewartakan sebuah rumah tinggalan lama yang terdapat di sini sebagai rumah warisan dan kita akan berbincang dengan pimiliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis di Kampung Buso selepas ‘walkabout’ di kampung itu semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menambah, perancangan ini bukan sahaja untuk mentransformasikan Buso tetapi daerah Bau secara keseluruhannya.

“Terdapat banyak tempat menarik di Bau ini seperti Gua Pari-Pari, Gua Angin dan banyak lagi yang berpotensi sebagai tarikan pelancongan.

“Apa yang penting ialah, penduduk perlu menjaga perpaduan di sini dan kita di pihak kerajaan akan menunaikan janji kita,” katanya.

Selain mewartakan pekan Buso sebagai Pekan Warisan, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi juga merancang untuk  membangunkan semula Kampung Buso agar lebih tersusun.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata kerajaan akan membelanjakan RM500 juta (setengah bilion) setiap tahun untuk membangunkan luar bandar.

“Untuk itu kita akan cuba dapatkan peruntukan besar bagi membangunkan semula Kampung Buso secara tersusun di lokasi dan tempat yang lebih sesuai,” katanya.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep mahu Buso dan Bau dibangunkan secepat mungkin.

Malah katanya, jika pekan Buso ini diaktifkan semula ia akan meningkatkan lagi ekonomi penduduk di kawasan ini.