Cabaran getir di separuh akhir

0

Oleh Saleman Senin//

BERSEPAI FC: Ibarat misi ‘balas dendam’ terhadap Final Fantasi FC pada pertemuan separuh akhir Piala FA Betong 2016 petang ini.

BERSEPAI FC: Ibarat misi ‘balas dendam’ terhadap Final Fantasi FC pada pertemuan separuh akhir Piala FA Betong 2016 petang ini.

BETONG: Melangkah ke pentas akhir menjadi impian setiap pasukan yang bertanding dalam sesuatu kejohanan bola sepak, namun cabaran getir di peringkat separuh akhir perlu ditempuh terlebih dahulu.

Bagi skuad bimbingan Iskandar Shahbudin, Final Fantasi FC yang memenangi empat perlawanan pada peringkat kumpulan selain membelasah lawan di suku akhir, menaruh harapan tinggi untuk melangkah ke slot final kejohanan Piala FA Betong 2016 yang memasuki edisi ke-18 penganjuran oleh Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA).

Kekuatan tonggak pasukan yang diterajui barisan utama skuad Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) Betong mengukuhkan harapan untuk beraksi di final dan mampu membenam lawan Bersepai FC pada pertemuan separuh akhir yang dijadualkan hari ini (5 November).

Pertemuan separuh akhir itu umpama perlawanan ulangan kerana kedua-dua pasukan pernah bertemu pada peringkat kumpulan di mana rekod menyebelahi Final Fantasi FC yang berjaya mengatasi Bersepai FC dengan jaringan 7-5.

Begitupun, itu bukan bermakna skuad kendalian Md Zainal Faiz Mohamad Yusop akan menyerah kalah pada pertemuan nanti kerana mereka mempunyai rekod tersendiri dalam kancah bola sepak di Bahagian Betong.

Enam penampilan untuk Liga Betong adalah satu usaha yang tidak mengenal erti mengalah buat mereka walaupun pada kejohanan kali ini kebanyakan pemain terpaksa mengharungi banyak kejohanan berikutan turut menyertai pertandingan bola sepak yang dianjurkan di Daerah Saratok.

Meskipun belum berjaya menjulang salah satu piala berprestij di Betong, mereka tetap mengidamkan untuk berjaya berkat usaha gigih berpasukan yang sentiasa diserapkan Md Zainal yang percaya ruang itu tetap ada buat mereka.

Pada masa sama, tonggak utama juga dibarisi pemain LBR Betong dan diperkukuhkan dengan penampilan bekas-bekas pemain pasukan Betong dan bekas pemain Piala Presiden Sarawak dalam senarai mereka.

Apapun pertemuan separuh akhir nanti bakal menyajikan kelainan dengan kemungkinan kedua-dua pasukan akan menampilkan tenaga baharu bagi diserap dalam pasukan dan menguatkan tonggak masing-masing.

Perlawanan separuh akhir dijadualkan pada jam 3.30 petang di Kompleks Sukan Betong. Bagi peminat yang berkesempatan hadir datanglah menyaksikan perlawanan yang dijangka sengit.