Pengurangan dana universiti awam, cadangan tutup tiga kolej latihan guru membimbangkan

0

KUCHING: Wali Kota Samarahan Datuk Peter Minos menyuarakan kebimbangan terhadap pengurangan peruntukan dalam Bajet 2017 bagi universiti awam serta cadangan penutupan tiga daripada empat institusi latihan guru di negeri ini.

Menurut Minos, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan salah sebuah daripada institusi latihan guru di negeri ini terletak di bawah pentadbiran Kota Samarahan.

“Kami tidak mahu status Kota Samarahan sebagai hab pendidikan atau kota ilmu terjejas disebabkan masalah kewangan ini.

“Kita amat menuntut graduan dalam pelbagai jurusan dan kita juga amat memerlukan guru bagi sekolah-sekolah kita.

“Tetapi, mengapa kita perlu mewujudkan kekacauan kewangan kepada universiti awam kita dan juga kolej latihan guru kita, malah sekolah rendah dan menengah kita juga.

“Sebab itu, saya berpendapat bahawa penubuhan Majlis Perundingan Pendidikan Sarawak oleh kerajaan negeri adalah tepat pada masanya,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Minos, objektif utama majlis ini adalah untuk melihat bagaimana memperbaiki sistem pendidikan di negeri ini dan apa yang boleh dilakukan bagi mempengaruhi Kuala Lumpur untuk kebaikan dalam semua aspek.

“Penubuhan majlis ini adalah tepat pada masanya kerana Sarawak amat memerlukan kepakaran dan kemahiran dalam usaha pembangunan terutama dalam memperbaiki luar bandar.

“Saya yakin majlis yang dipengerusikan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah ini akan dapat mencapai objektif penubuhannya,” katanya.

Pendidikan merupakan kunci kemajuan dan pembangunan dan sebab itu kerajaan persekutuan perlu memberikan sokongan kewangan penuh kepada institusi pendidikan awam, tambahnya.

“Besar harapan kita agar kerajaan persekutuan akan mengkaji semula layanan kewangan kepada universiti awam, kolej latihan guru dan semua institusi pendidikan termasuk sekolah rendah dan menengah.

“Kewangan yang diperlukan serta pelaburan dalam institusi pendidikan adalah pelaburan yang terbaiik bagi memastikan masa depan negara yang cerah,” ujar Minos.