Rata-rata pemohon pekerjaan berasa peluang kerja terhad ditawar syarikat dalam negeri

0

KUCHING: Pemohon pekerjaan di Job Fair semalam rata-rata berasa peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat dalam negeri amat terhad.

Ditambah pula dengan persaingan sengit dalam sektor sumber manusia yang berkehendak pengalaman menyebabkan ramai di kalangan belia sering bertukar pekerjaan.

Ketika ditemui Asmida Pauzi, 24, berkata sebelum ini beliau pernah bekerja di bahagian peruncitan di Jalan Mardzuki dan hadir di Job Fair sebagai hanya mencuba nasib.

“Memang susah untuk mendapatkan peluang pekerjaan di dalam negara, banyak majikan yang mahukan pengalaman agaknya.

“Saya tidak teragak-agak untuk kerap kali bertukar kerja kerana banyak syarikat mahukan mereka yang mempunyai pengalaman pelbagai. Tetapi buat masa ini saya masih menganggur,” katanya.

Katanya, selepas mengisi borang beliau masih berasa gemuruh walaupun pernah menghadiri sesi temu duga sebelum ini.

Menurut Asmida, beliau diberitahu oleh kawan karibnya tentang Job Fair yang dijalankan semalam dan pergi ke UTC di sini bersama-sama untuk mencuba nasib.

Tambahan pula, katanya, beliau yang merupakan bekas graduan sebuah insitusi awam di sini percaya pertukaran idea dan pengetahuan dalam bidang pekerjaan yang berbeza akan membantu dirinya untuk lebih maju selepas ini.

Sementara itu, sebelum melanjutkan pengajian ke insitusi pengajian tinggi (IPT), Irda Irayanna Ismail, 20, mahu mencuba nasib dalam bidang peruncitan bagi mencari pengalaman bekerja.

“Ini kali pertama saya mencuba nasib (di Job Fair) kerana sebelum ini pernah bekerja walaupun ada sedikit rasa gemuruh untuk ditemu duga selepas ini. Mudahan dapat (berjaya),” katanya.

Irda berkata, pada mulanya beliau teragak-agak datang memohon pekerjaan di Job Fair selepas ternampak iklan diposkan oleh kawan di laman sosial Facebook tempoh hari, namun agak bersemangat menghadirinya kerana mempunyai teman.

Menurutnya lagi, jika berkesempatan beliau mahu menghadiri temu duga bagi setiap pekerjaan yang ditawarkan semalam kerana mahu mencari pekerjaan yang lebih baik.

Bagi Penyelaras Job Fair Agensi Sumber Manusia, Bruno Jong berkata kekosongan jawatan yang ditawarkan adalah bergantung kepada penyertaan 20 syarikat di sekitar bandar raya Kuching.

Kelayakan untuk memohon jawtaan tersebut yang dibuka sejak jam 10 pagi semalam adalah bermula daripada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Diploma dan seterusnya.

Selepas borang-borang diedarkan kepada pemohon, mereka akan dipanggil untuk sesi temu duga di dewan temu duga.

Konsep ini, ujar beliau, amat berbeza daripada Pameran Pekerjaan kerana pihaknya sememangnya mahu mencapai golongan sasar untuk ditempatkan dalam sektor pekerjaan.

Bagi pemohon yang berjaya mendapat tempat dalam kekosongan jawatan yang ditawarkan oleh peserta dari kalangan syarikat tersebut, mereka akan dihubungi melalui telefon, mesej pesanan ringkas dan sebagainya, tambahnya.

Job Fair tersebut dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia, JobsMalaysia dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) bermula 10 pagi sehingga 8 malam secara serentak di sembilan lokasi di seluruh Malaysia.