Pembelajaran al-Quran harus diamal dalam kehidupan

0

KUCHING: Proses pembelajaran al-Quran diharap tidak terhenti di peringkat sekolah sahaja, bahkan harus diterus serta diamalkan dalam kehidupan seharian sehingga ke peringkat dewasa.

Menurut Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi, proses pembelajaran ilmu kalam Allah itu perlu diperincikan terutama daripada aspek tajwid, taranum dan sebagainya.

“Sebaiknya, program berunsur ilmu kalam Allah dan pembacaannya harus dibekalkan kepada anak-anak kita dari peringkat sekolah rendah lagi sebagai bekalan memasuki alam persekolahan di peringkat menengah.

“Maka itu, harapan saya agar setiap anak-anak kita menanam azam dan kesungguhan untuk terus belajar tidak hanya dalam aspek akademik semata-mata, tetapi juga bidang al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Khatamal Al-Quran Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Samariang di sini, kelmarin.

Katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, sekiranya terdapat peluang atau keinginan untuk anak-anak menyertai perujian al-Quran dan mendalami ilmu al-Quran dengan memahami isi kandungannya, sebaiknya ia digalakkan sehingga ke peringkat lebih tinggi.

Mengenai majlis itu, beliau berkata, penganjuran program itu diharap dapat dianjur di peringkat kampung dan taman perumahan malah, ketua kampung atau ketua masyarakat juga boleh menjadikan program seumpama itu sebagai contoh untuk dilaksanakan di kawasan masing-masing.

Menurut beliau, ia juga dapat menjadi platform untuk mengumpul seberapa ramai belia dan remaja di kawasan yang mempunyai bakat mengaji al-Quran untuk mengasah kemahiran sedia ada.

Majlis Khatamal Al-Quran itu merupakan acara tahunan anjuran SK Bandar Samariang dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bandar Samariang yang disertai kira-kira 90 murid tahun enam di sekolah terbabit.

Turut hadir Guru Besar SK Bandar Samariang Zaaba Bujang.