Pusat hemodialisis bernilai RM8 juta dibina di Bintulu: Dr Rundi

0

BINTULU: Pusat Hemodialisis Bintulu St John Ambulans Malaysia bernilai RM6 juta akan dibina tahun depan bagi menampung keperluan pesakit buah pinggang di bahagian ini yang semakin meningkat.

Menteri Kemudahan Awam merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pembinaan bangunan baharu pusat itu mampu menampung jumlah pesakit yang ramai dan mengurangkn kos pesakit mendapatkan rawatan di tempat lain.

Katanya pembinaan pusat itu adalah yang kedua dengan pusat sedia ada yang menyewa bangunan telah beroperasi sejak 2007 hanya memiliki 12 mesin hemodialisis untuk rawatan 72 pesakit buah pinggang.

“Berikutan peningkatan jumlah pesakit maka ruang bangunan yang lebih besar diperlukan yang mampu menempatkan 84 unit mesin hemodialisis dan keperluan rawatan lebih 300 pesakit buah pinggang,” ujarnya pada sidang media semalam.

Beliau mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bagi menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Pusat Hemodialisis St John Ambulans-Kawasan Pantai Selangor (SJAM-KPS) berkeluasan 5,174 meter persegi di kawasan Parcity Commercial Centre di sebuah hotel terkemuka semalam.

Turut hadir Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur merangkap Menteri Muda Urbanisasi dan ADUN Jepak Datuk Talib Zulpilip, ADUN Samalaju Majang Renggi, Pengurus Besar BDA Rodziah Morshidi, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan SJAM-KPS merangkap Pegawai Pemerintah Negeri SJAM Selangor Datuk Burnard Yeo Kim Thong dan Ketua Kakitangan (Operasi) SJAM Datuk Lai See Ming.

Rundi berkata, peningkatan jumlah pesakit buah pinggang seharusnya memberi kesedaran kepada masyarakat untuk melihat kembali gaya hidup seharian termasuk dalam penjagaan kesihatan diri terutama cara pemakanan kurang sihat yang menjurus ke arah penyakit darah tinggi, diabetes (kencing manis) dan obesiti.

“Dalam lima penghidap diabetes, satu antaranya mengalami kegagalan fungsi buah pinggang. Ia membimbangkan dan kerajaan prihatin sekali gus mengambil serius keadaan tersebut yang boleh dihidapi oleh semua golongan,” tambahnya.

Menurutnya, `rasa takut’ perlu diterap dalam diri orang awam terhadap keadaan dan kesan pengambilan makanan yang kurang sihat terutama pengambilan gula dan garam yang berlebihan yang menjurus kepada penyakit darah tinggi serta penyakit lain.

Justeru katanya, orang awam perlu sedar mengenai kos rawatan kesihatan terutama membabitkan rawatan mencuci buah pinggang di tempat lain sejauh Kuching yang berkos tinggi apabila pesakit perlu memperuntukkan tambang perjalanan, penginapan, makanan dan sebagainya.

Begitupun katanya, usaha St John Ambulans Yayasan Kawasan Pantai Selangor yang membuka lebih banyak pusat seumpamanya amat dihargai yang sebelumnya telah membina pusat yang sama di Sibu dan kini di Bintulu.

“Kini pesakit kawasan luar bandar lebih mudah untuk mendapatkan rawatan di pusat rawatan di bandar yang lebih dekat dengan kemudahan mesin yang lebih banyak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pemerintah Agung St John Ambulans Malaysia Datuk Dr Low Tick berkata, bangunan baharu itu mampu menampung kapasiti penuh pesakit buah pinggang di bahagian ini manakala pusat rawatan sedia ada miliknya akan terus dikekalkan di sini (di Tanjung Batu).

“Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) yang memperuntukkan tanah untuk pembinaan bangunan pusat rawatan buah pinggang yang akan memberi manfaat kepada penduduk seluruhnya,” katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan bangunan itu akan dilaksanakan pada tahun depan dan pusat rawatan buah pinggang kedua terbesar itu akan beroperasi sepenuhnya pada 2018.

Mengenai pusat rawatan buah pinggang bergerak katanya, ia tidak mampu bertahan terutama dari segi kos pengendalian operasinya yang tinggi namun klinik bergerak boleh dibuat khusus untuk pemeriksaan kesihatan, tekanan darah tinggi dan pemeriksaan kesihatan warga emas.

Pada majlis yang sama Rundi menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM215,000 kepada lima organisasi di Bintulu.