Tidak bentang usul tamparan kepada Adenan: Chong

0

Mengecewakan kerana KM bercakap banyak mengenai keperluan dapat semula hak, kedudukan S’wak

// Oleh Patricia Gari//

CHONG

CHONG

KUCHING: Keputusan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk tidak membentang usul mendapatkan sokongan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meminda Perlembagaan Persekutuan merupakan satu tamparan kepadanya.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen berkata ia adalah suatu yang memalu dan mengecewakan kerana Ketua Menteri telah bercakap banyak mengenai keperluan mendapatkan semula hak Sarawak dan kedudukannya dalam Malaysia.

“Sekarang Adenan menarik balik keputusannya sebelum ini untuk membentangkan usul mengenai perkara itu di DUN Sarawak.

“Alasan diberikan Adenan ialah keputusan tiba-tiba itu ialah beliau melihat keikhlasan Najib (Perdana Menteri) ketika mengatakan persetujuannya ke atas permintaan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Chong yang juga ADUN Kota Sentosa dan Ahli Parlimen Bandar Kuching berkata alasan Adenan itu hanyalah alasan untuk menutup kegagalannya dalam memperjuangkan hak-hak saksama untuk Sarawak dan keengganan kerajaan Barisan Nasional (BN) memulihkan kedudukan berparlimen Sarawak pada 1963.

“Apa ‘keikhlasan’ yang telah Najib tunjukkan kepada Sarawak dalam ucapannya di Sabah, hanyalah cakap kosong tanpa tindakan?

“Saya mahu mengingatkan Adenan mengenai ucapannya pada 22 Julai 2016 semasa Sambutan Hari Sarawak, antara disebut beliau ialah: ‘Semenjak 53 tahun lalu, berlaku hakisan berterusan kuasa asal diberikan oleh kerajaan pusat, tetapi sekarang menuntut apa hak kita’,” katanya.

Justeru beliau mengingatkan Adenan yang sejak 53 tahun lalu mengatakan kerajaan persekutuan menghakis kuasa Sarawak tetapi Najib yang menjadi Perdana Menteri sejak enam tahun lalu juga turut menghakis hak-hak Sarawak sepanjang tempoh itu.

Sebagai contoh kata Chong, dalam jawapan Kementerian Kewangan pada 7 November 2016, Menteri Kewangan Kedua memberitahu Parlimen, hanya kira-kira lima peratus jumlah peruntukan bajet diperuntukkan kepada Sarawak pada 2015.

Kedua katanya, dalam Bajet 2017, perbelanjaan pembangunan untuk membina jalan dan jambatan, sejumlah RM4.092 bilion diperuntukkan kepada Semenanjung Malaysia, RM494 juta kepada Sabah dan Sarawak hanya RM299 juta.

Maknanya ujar beliau, Sarawak hanya mendapat enam peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan pembangunan untuk membina jalan-jalan dan jambatan-jambatan.

“Malah Lebuh Raya Pan Borneo di bawah Jabatan Perdana Menteri, jumlah peruntukan untuk 2017 hanya RM1.5 bilion untuk dikongsi oleh Sabah dan Sarawak.

“Ia hanya sekelumit berbanding RM50 bilion projek MRT, RM55 bilion projek ECRL dan projek-projek mega lain di Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Sebagai tambahan katanya, tiada maklum balas daripada kerajaan persekutuan ke atas kutukan Adenan mengenai dasar pendidikan kebangsaan yang dikatakannya ‘bodoh’.

Menurut Chong tindakan Adenan itu juga menunjukkan beliau boleh membentang banyak usul sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, sekarang pilihan raya sudah berakhir, walaupun mendapat mandat lebih besar, kerajaan negeri tidak dapat mengemukakan usul menyentuh hubungan antara kerajaan persekutuan dengan Sarawak.

“Kepentingan Sarawak akan terus diabaikan oleh kerajaan BN. Perbezaan antara Adenan dengan pemimpin sebelumnya ialah Adenan bercakap besar tetapi tiada tindakan,” katanya.