Julang nama Sarawak

0
LANCAR: Abang Johari menyempurnakan simbolik pelancaran Regata Sarawak, semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Naroden, Jabu, Shukarmin dan Sikie.

LANCAR: Abang Johari menyempurnakan simbolik pelancaran Regata Sarawak, semalam. Turut kelihatan (dari kanan) Naroden, Jabu, Shukarmin dan Sikie.

ta04541Regata Sarawak mampu lonjak negeri sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Oleh Sandy Mark Luna //

KUCHING: Penganjuran Regata Sarawak secara tahunan dilihat mampu melonjakkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, kepelbagaian aktiviti dianjurkan sempena regata bukan sahaja mampu menarik ramai pengunjung tempatan, bahkan pelancong dari dalam dan luar negara.

“Regata Sarawak yang diadakan setiap tahun dapat memupuk dan memperkuatkan impian kita untuk menjulang dan mempopularkan nama Sarawak di mata dunia sebagai sebuah destinasi pelancongan yang maju, progresif, sejahtera dan unik,” katanya dalam perutusan Regata Sarawak 2016, semalam.

Adenan berkata, menerusi penganjuran temasya sedemikian, Perlumbaan Bot Naga Antarabangsa, Festival Makanan, Promosi Kraf Malaysia dapat diperkenalkan selain persembahan kebudayaan, kesenian dan juga warisan.

Menurut beliau, ia sudah pasti mampu menyemarakkan lagi kebanjiran penduduk Sarawak dan menarik minat pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke temasya tersebut.

Kejayaan penganjuran Regata Sarawak kali ke-144 itu juga, katanya, merupakan manifestasi wujudnya jalinan dan kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan dengan pelbagai badan korporat.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas sumbangan serta tajaan khususnya penaja utama Regata Sarawak 2016 dan Festival Tebingan Kuching, iaitu pihak Petronas dan semua pihak yang terlibat.

“Saya ingin merakamkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur Regata Sarawak 2016 dan semua pihak yang terlibat dalam merealisasikan penganjuran temasya ini.

“Semoga Sarawak Regata 2016 ini akan berjaya mencapai sasarannya serta dapat menarik penyertaan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, regata merupakan salah satu acara pelancongan tempatan dan antarabangsa yang diadakan di sepanjang Sungai Sarawak.

“Ramai pengunjung dari bandar raya Kuching dan sekitarnya dijangka mengambil peluang ini untuk membawa anak-anak serta keluarga bersama dalam menyaksikan Regata Sarawak 2016.

“Di samping menggalakkan industri pelancongan domestik, diharapkan temasya ini mampu menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya juga dalam Perutusan sempena Regata Sarawak 2016.

Majlis perasmian Lumba Perahu Regata Sarawak 2016 disempurnakan oleh Abang Johari mewakili Ketua Menteri.

Beliau turut berkesempatan menyaksikan dua acara saringan iaitu ‘Brooke’s Swim’ dan menangkap itik.

Turut hadir, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Muda Pembangunan Keusahawanan Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Kesenian dan Kebudayaan Datuk John Sikie Tayai dan Residen Bahagian Kuching Shukarmin Chasemon.