Pastikan Bumiputera dapat bahagian adil

0

GABEM cadang k’jaan wujudkan mekanisme yang berkaitan dengan pelaburan M’sia-China

MELAKA: Kerajaan persekutuan perlu mewujudkan mekanisme bagi memastikan Bumiputera mendapat bahagian yang adil hasil daripada pelaburan Malaysia-China, kata Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM).

Pengerusinya Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata mekanisme berkenaan mampu memainkan peranan penting dalam memantau projek, terutama yang melibatkan infrastruktur dan kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan.

“Menerusi mekanisme ini, kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa pegawai tinggi bagi memantau pelaksanaan projek, terutama yang melibatkan Bumiputera.

“Ini perlu memandangkan tanggapan, terutama dalam kalangan Bumiputera, bahawa pelaburan China tidak akan memberi manfaat saksama kepada rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke China baru-baru ini yang selain menyatukan hubungan dua hala, juga menghasilkan 14 perjanjian pelaksanaan beberapa projek ikonik dan mega ditandatangani membabitkan kira-kira RM144 bilion antara Malaysia dan syarikat China, yang akan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia.

Abdul Rahim berkata dari sudut pandangan perniagaan, mekanisme itu diperlukan bagi menghapuskan diskriminasi, terutama dalam kalangan kontraktor Bumiputera dan Cina Malaysia, sekali gus memastikan persaingan yang adil.

“Dari sudut pandangan peluang pekerjaan pula, Bumiputera bimbang terhadap diskriminasi dari segi pelantikan, penempatan dan kenaikan pangkat, terutama kemahiran dalam penguasaan bahasa Mandarin menjadi satu keperluan,” katanya.

Beliau berkata GABEM bimbang jurang sosioekonomi di Malaysia akan semakin besar jika Bumiputera ketinggalan dalam projek-projek tersebut.

Abdul Rahim juga berkata golongan Bumiputera perlu merebut peluang dan memanfaatkan sepenuhnya projek terbabit.

“Jangan ambil mudah, ini bukan satu tiket untuk mendapat pendapatan tinggi tanpa keringat dan air mata. Bumiputera mesti bekerja keras,” katanya.

Beliau berkata GABEM bersedia membantu kerajaan dan pelabur mencari usahawan yang mempunyai kemahiran dan kepakaran untuk memenuhi keperluan projek. — Bernama