Kayuhan wira

0
KEBANGGAAN SARAWAK: Sofian (lima kiri) memberi ‘pose’ istimewa bersama Rumzi (enam kiri), warga PKS dan tetamu lain sebaik disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam.  — Gambar Harry Ilias

KEBANGGAAN SARAWAK: Sofian (lima kiri) memberi ‘pose’ istimewa bersama Rumzi (enam kiri), warga PKS dan tetamu lain sebaik disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, semalam. — Gambar Harry Ilias

Sofian Mohd mengharumkan nama negara, tamatkan kayuhan berbasikal solo merentasi 22 negara.

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Usia mencecah setengah abad bukan penghalang bagi Ketua Jabatan Pengajian Am Politeknik Kuching Sarawak (PKS), Sofian Mohd untuk mengharumkan nama negara.

Sofian, 56, diangkat sebagai wira selepas berjaya menamatkan kayuhan berbasikal menjelajahi 22 negara sejauh 22,000 kilometer secara solo.

Beliau memulakan kayuhan tersebut pada 29 Julai 2015 dan berakhir pada 10 November 2016 dengan merentasi negara-negara seperti Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Azerbaijan, Georgia, Turki, Greece, Itali, Perancis, Belgium, United Kingdom, Jepun, Vietnam dan Kemboja.

Kepulangan beliau ke tanah air semalam disambut meriah oleh orang ramai termasuk Pengarah Politeknik Kuching Sarawak Muhamad Rumzi Mamat, Pengarah-Pengarah Kolej Komuniti Zon Sarawak, Pengarah Politeknik METrO Betong Sarawak dan warga PKS.

“Gembira kerana dapat menamatkan kayuhan ini, saya sangat terharu dengan sambutan ini atas sebab-sebab peribadi.

“Ia memberi saya dorongan, inspirasi kepada warga muda terutama warga PKS dan IPT untuk meneruskan cabaran ini supaya menjadi inspirasi kepada negara dan amalan kita untuk mencapai sesuatu yang hebat.

“Terima kasih kepada warga Sarawak dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam menjayakan program kayuhan dunia ini. Untuk merentasi kayuhan ini, sokongan daripada semua sangat penting,” katanya.

Menurutnya, objektif utama beliau membuat jelajah berkenaan adalah untuk memaklumkan kepada orang ramai terutama golongan muda bahawa usia bukan penghalang untuk melakukan perkara yang hebat.

Selain itu, beliau juga berhasrat untuk mempromosi gaya hidup sihat dari segi fizikal dan mental dalam kalangan masyarakat terutama pelajar IPT.

Semasa ditemui, Sofian sempat berkongsi pelbagai cabaran yang dilaluinya sepanjang 485 hari kayuhan tersebut.

“Selain topografi politik negara luar dan berita kematian adik saya, cabaran lain yang saya hadapi antaranya masalah komunikasi, penduduk, cuaca dan tidak cukup rehat.

“Setiap hari saya akan memastikan dapat rehat sekurang-kurangnya selama 10 jam untuk menyambung semula kayuhan,” katanya.

Beliau turut bersyukur kerana penduduk negara luar yang ditemuinya turut menghulurkan bantuan kepada beliau dalam bentuk makanan dan minuman untuk menguatkan semangatnya menamatkan kayuhan.

“Pertemuan dengan pelbagai bangsa dari negara luar memberi saya peluang untuk berkongsi pengalaman sekali gus mempromosi Sarawak di mata dunia.

“Malah, saya turut menjelaskan kepada mereka negeri ini amat mementingkan aspek keselamatan berbasikal dan ramai di antara mereka telah datang ke Sarawak untuk melihat sendiri kebenaran kata-kata saya itu,” menurut Sofian yang merancang untuk menghasilkan buku rujukan mengenai berbasikal dalam masa terdekat.