Sistem pendidikan sentiasa dinamik dan progresif

0
CEMERLANG: Sahanip menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar perempuan cemerlang. Turut kelihatan Abidin (kiri).

CEMERLANG: Sahanip menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar perempuan cemerlang. Turut kelihatan Abidin (kiri).

KENINGAU: Sistem pendidikan mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Liawan Sahanip Jamil berkata sehubungan itu Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) sejak dua tahun lalu sebagai kayu pengukur kompetensi anak-anak di sekolah.

“Kita perlu melahirkan pelajar yang cemerlang dan kompeten dengan mencapai standard kualiti untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam atau swasta,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), di sini, baru-baru ini.

Katanya, pada hari ini peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya di mana pelajar bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar tetapi untuk dididik sebagai pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.

Menurut beliau ia selari dengan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

Dalam konteks itu, katanya, NKRA itu sendiri merupakan satu inovasi dasar dan strategi yang ampuh dalam merealisasikan hasrat untuk memantapkan kualiti pendidikan negara.

“Kita perlu bersedia untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran dalam sistem pendidikan melalui inovasi dasar dan strategi yang berterusan.

“Dasar dan strategi yang telah terbukti berjaya pada masa lampau tidak semestinya berkesan untuk masa kini dan masa hadapan,” katanya.

Sahanip berkata, usaha itu adalah untuk menjadikan para pelajar sebagai peneroka ilmu dan bukan sekadar pengikut amat penting bagi mempersiapkan generasi muda dengan keperluan abad ke-21.

Selama ini, katanya, ramai yang beranggapan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku secara semulajadi, namun dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan anak-anak.

Katanya, ibu bapa perlu menitikberatkan soal pembelajaran secara berterusan anak-anak bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah.

Menurut beliau sebagai ibu bapa perlu melakukan refleksi kendiri atau bermuhasabah apakah memadai atau cukup setakat menyerahkan tanggungjawab kepada guru-guru dan pihak sekolah semata-mata sebaliknya ibu bapa perlu memastikan usaha yang dimulakan di sekolah akan diteruskan apabila murid-murid balik ke rumah.

Sahanip memberitahu kepimpinan sekolah pula perlu memacu penghasilan daya kreativiti dan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan.

Hadir sama pada majlis itu, Pengetua SMAN Keningau Mohd Abidin Hasmin, wakil Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Keningau Mohd Nizam Yahya, Pegawai Zakat Sabah Cawangan Keningau Mohd Al-Danish Mohd Hatta, guru-guru, ibu bapa dan pelajar sekolah.