120 kanak-kanak sertai ‘Program Bersunat Berami-rami’

0
SIMBOLIK: Fazzrudin menyembur air daripada hos air jentera bomba kepada para peserta sebelum memulakan proses berkhatan.

SIMBOLIK: Fazzrudin menyembur air daripada hos air jentera bomba kepada para peserta sebelum memulakan proses berkhatan.

BERAMAI-RAMAI: Seramai 120 kanak-kanak berusia dalam lingkungan 10 hingga 13 tahun menyertai ‘Program Bersunat Berami-rami,’ di Kuching, semalam.

BERAMAI-RAMAI: Seramai 120 kanak-kanak berusia dalam lingkungan 10 hingga 13 tahun menyertai ‘Program Bersunat Berami-rami,’ di Kuching, semalam.

KUCHING: Seramai 120 kanak-kanak berusia lingkungan 10 hingga 13 tahun menyertai ‘Program Bersunat Berami-rami’ di Klinik Kesihatan Petra Jaya (KKPJ), di sini dengan hanya mengenakan bayaran RM50 seorang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berkata program itu mendapat pujian dan sambutan menggalakkan selain sebagai usaha mengurangkan beban masyarakat.

“Klinik swasta di luar mengenakan caj agak mahal untuk berkhatan yang rata-rata mengenakan bayaran RM150 hingga RM400 bagi seorang anak lelaki.

“Justeru itu, dengan penganjuran program ini hanya mengenakan kos berpatutan iaitu RM50 seorang adalah amat sesuai. Kita mengucapkan terima kasih kepada penganjur menjayakan program ini,” katanya pada majlis perasmian ‘Program Bersunat Berami-rami’ di sini semalam.

Program itu anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Jabatan Agama Islam Sarawak (KESUJA) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Pembedahan Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Taman Banjaran Serapi dan Balai Bomba Petra Jaya.

Fazzrudin juga teruja melihat keberanian anak-anak berkhatan di sebalik wajah risau ibu bapa mereka masing-masing.

Lebih menarik, program itu turut disertai lima peserta bukan beragama Islam iaitu seorang kanak-kanak berbangsa Cina dan selebihnya kaum Dayak.

Bapa kanak-kanak berbangsa Cina dari Lawas, Alex Soh ketika ditemui berkata anaknya, Aaron Ethan Soh, 13, menyatakan kesediaannya untuk berkhatan sejak dahulu.

“Saya berasakan adalah lebih selamat dan terjamin sekiranya mengikuti program berkhatan seperti ini selain kos dikenakan juga tidak terlalu mahal.

“Pada masa sama, keluarga kami sememangnya mengamalkan budaya berkhatan untuk menjaga kebersihan dan kesihatan,” katanya.

Turut hadir Pengarah KKPJ Dr Juslina Omar, Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Kesihatan Negeri Abang Norafian Abang Ibrahim, Ketua Jabatan Pembedahan HUS Dr Nik Azim Nik Abdullah, Pengerusi KESUJA Mohd Iselahuddin Kameri, Ketua Balai Bomba Petra Jaya, Muhammed Mirza Dzalmira Miraj dan Pengerusi KRT Taman Banjaran Serapi, Ahmad Tarmizi Ali.