JKKK harus mementingkan aspek keselamatan ketika kebakaran: Masir

0

SRI AMAN: Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat menggesa ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mementingkan aspek keselamatan daripada ancaman kebakaran.

Menurutnya, adalah wajar semua penduduk di kawasan masing-masing bekerjasama mengawasi sebarang aktiviti yang boleh mengakibatkan kebakaran.

“Kita berharap mereka tinggal di kampung, taman perumahan serta rumah panjang menubuhkan Jawatankuasa Pencegah Kebakaran di kawasan masing-masing.

“Ibu bapa mempunyai anak-anak kecil dinasihati mengawasi mereka agar tidak bermain mancis dan benda yang boleh menyebabkan kebakaran,” katanya pada Majlis Penutupan Program Bomba Komuniti Peringkat Parlimen Sri Aman anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Sri Aman di Rumah Lindang, Lachau Ili, dekat sini semalam.

Ahli Parlimen Sri Aman itu berkata, penubuhan Jawatankuasa Pencegah Kebakaran amat penting untuk bertindak dan mengawasi punca kebakaran.

Beliau turut menggesa penduduk meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pelbagai agensi kerajaan mengendalikan program latihan berkaitan pencegahan kebakaran.

Katanya usaha itu mampu memberi latihan asas kepada penduduk mengawal dan mencegah kebakaran memusnahkan kediaman mereka.

Sementara itu, Penguasa Bomba dan Penyelamat Sri Aman dan Betong Nik Afiq berkata setakat ini sebanyak 88 Jawatankuasa Bomba Komuniti ditubuhkan di Sri Aman.

Hadir sama Pegawai Kanan Bomba II Bahagian Sri Aman Jilin Itar, ketua-ketua masyarakat serta kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sri Aman.

Pada majlis itu, Masir menyampaikan geran berjumlah RM50,000 kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sri Aman untuk pakaian seragam RELA manakala RM5,000 diagihkan kepada Bomba Sri Aman menerusi peruntukan 2017 untuk aktiviti tahunan.

Masir turut menyampaikan 12 unit alat pemadam api kepada enam rumah panjang di kawasan Lachau yang terlibat pada program tersebut.