Keputusan permohonan Anwar ketepikan sabitan kesalahan liwat diketahui 14 Dis

0

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tahu pada 14 Dis ini sama ada Mahkamah Persekutuan akan membenarkan atau menolak permohonannya untuk mendapatkan semakan semula kehakiman terhadap keputusan mahkamah itu yang mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman penjara yang diputuskan Mahkamah Rayuan kerana kesalahan meliwat.

Anwar berusaha menge-tepikan sabitannya dan hukuman penjara lima tahun yang dijatuhi Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 kerana mendapatinya bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 31.

Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusannya pada tarikh itu mengenai permohonan Anwar untuk mendapatkan semakan semula keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

Seorang daripada peguam yang mewakili Anwar, Latheefa Koya, memberitahu media bahawa Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, dalam sepucuk surat kepada Tetuan Daim & Gamany bertarikh 5 Dis, memaklumkan bahawa Mahkamah Persekutuan akan mengumumkan keputusannya pada 9 pagi, 14 Dis.

Anwar memohon Mah-kamah Persekutuan menggunakan Peraturan 137

Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 dan menyemak semula keputusan panel lima anggota yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 membenarkan pihak yang kalah memohon mendapatkan semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan.

Walaupun Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk menyemak semula keputusannya sendiri bagi mencegah berlaku ketidakadilan dan salah guna proses mahkamah, selalunya ia hanya digunakan bagi keadaan yang sangat luar biasa.

Anwar, 69, sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman yang dikenakan Mahkamah Rayuan terhadapnya pada 10 Feb 2015.

Setakat ini, beliau menjalani hukuman itu selama hampir setahun 10 bulan. Sekiranya permohonan semakan semula kehakiman itu memberi kemenangan kepada Anwar, beliau akan dibebaskan daripada penjara kerana tidak akan ada lagi sabitan serta boleh bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang perlu diadakan tidak lewat daripada Jun 2018.

Pada 12 Okt, panel hakim lima anggota Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menangguhkan penghakimannya ke suatu tarikh yang akan ditetapkan setelah mendengar hujah peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar dan Ketua Bahagian Perbicaran dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Pada 9 Jan 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Anwar daripada tuduhan berkenaan atas alasan mahkamah itu tidak dapat 100 peratus pasti tentang integriti sampel yang diambil bagi ujian DNA daripada orang yang didakwa menjadi mangsa.

Mahkamah itu memutuskan bahawa sampel berkenaan mungkin telah diusik sebelum sampai kepada Jabatan Kimia untuk dibuat analisis. — Bernama