Interaksi antara ibu bapa, anak penting

0

Beri penerangan mengenai perubahan dari kanak-kanak kepada alam remaja: Nancy

// Oleh Rusnan Mustafa //

RASMI: Nancy menyempurnakan simbolik perasmian Program Berkhatan Beramai-Ramai Peringkat Gedong 2016, baru-baru ini.

RASMI: Nancy menyempurnakan simbolik perasmian Program Berkhatan Beramai-Ramai Peringkat Gedong 2016, baru-baru ini.

GEDONG: Interaksi antara ibu bapa dan anak-anak penting terutama ketika dalam proses perkembangan daripada seorang kanak-kanak kepada remaja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkembangan itu merupakan fasa peralihan yang memerlukan ibu bapa memberi penerangan dengan lengkap mengenai perubahan yang berlaku dari segi fizikal, mental dan emosi.

Sehubungan itu, tegasnya, musim cuti sekolah adalah peluang terbaik kepada ibu bapa untuk meluangkan masa dan merapatkan lagi hubungan dengan anak-anak.

“Inilah masa terbaik untuk berinteraksi dengan anak-anak melalui aktiviti bersama. Bagi mereka yang mempunyai anak-anak lelaki berusia 10 tahun ke atas, sudah tentu inilah masanya untuk anak-anak lelaki mereka berkhatan.

“Kesempatan bersama inilah yang harus dijadikan sebagai peluang ibu bapa untuk menerangkan proses peralihan anak-anak mereka daripada seorang kanak-kanak kepada remaja dan pada masa ini juga, ibu bapa harus memberi kata-kata perangsang yang boleh memberi keyakinan kepada mereka untuk berdepan dengan perasaan takut dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Berkhatan Beramai-Ramai Peringkat Gedong di sini baru-baru ini.

Namun demikian, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong memberitahu tidak ramai ibu bapa bersikap terbuka untuk membicarakan tentang perubahan tersebut.

“Ada yang mengambil sikap sambil lewa sehingga anak mendapatkan penerangan daripada rakan sebaya, malah ada juga yang mencari sendiri di Internet.

“Dalam hal ini, kita perlu mengambil langkah berhati-hati kerana anak-anak boleh terdedah kepada pelbagai maklumat tidak sesuai untuk mereka yang berada pada peringkat umur berkenaan,” tambahnya.

Justeru, beliau menegaskan adalah lebih baik ibu bapa mengambil pendekatan berkomunikasi secara bersemuka dengan anak-anak dalam menerangkan fasa perubahan yang akan mereka lalui sepanjang proses pembesaran.