Jangan lindungi PATI warga Suluk, kata Adenan

0
TEGAS: Lee (lima kiri) semasa sidang media di Pejabat Residen Miri kelmarin. Turut kelihatan Dennis (enam kiri) dan Antonio (empat kiri) bersama dengan wakil agensi kerajaan berkaitan.

TEGAS: Lee (lima kiri) semasa sidang media di Pejabat Residen Miri kelmarin. Turut kelihatan Dennis (enam kiri) dan Antonio (empat kiri) bersama dengan wakil agensi kerajaan berkaitan.

MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem telah mengingatkan rakyat negeri ini, agar tidak memberi perlindungan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Suluk kerana ia merupakan satu jenayah serius.

Pada masa yang sama, Adenan mengingatkan pihak berkuasa berkaitan supaya menangani segera laporan yang menyebut dan mendakwa golongan PATI ini telah kembali semula ke Sarawak, dengan lebih serius.

Peringatan oleh Ketua Menteri itu telah dinyatakan oleh Menteri Muda Pengangkutan Darat dan Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin yang menerima panggilan daripada Adenan kelmarin, yang memandang serius laporan berhubung perkara tersebut seperti disiarkan di akhbar.

“Malah Ketua Menteri mahu laporan akhbar ini dipandang serius dan diambil tindakan serta siasatan yang sewajarnya.

“Kita juga akan menjalankan siasatan berhubung laporan ini dan semua agensi kerajaan berkaitan digesa untuk memantau semua aktiviti yang dilakukan oleh golongan PATI ini, sama ada di darat mahupun di perarian negeri ini,” jelas Lee kepada pemberita semasa sidang media di Pejabat Residen Miri di sini, kelmarin.

Terdahulu, Lee mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa bertindak keselamatan di Pejabat Residen Miri yang turut dihadiri ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Setiausaha Politik Ketua Menteri Charles Balan Seling serta Residen Miri Antonio Khati Galis dan wakil-wakil agensi berkuasa berkaitan seperti Jabatan Imigresen Miri, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), polis dan Polis Marin.

Menurut Lee, agenda utama mesyuarat tersebut ialah untuk mengenal pasti laporan berhubung isu ‘kedatangan semula’ Suluk ke negeri ini seperti yang disiarkan dalam akhbar dan semua jabatan berkaitan juga diminta membentangkan penemuan, laporan dan siasatan mereka.

Lee yang juga Menteri Muda Pelancongan berkata, maklum balas daripada pihak APMM menyatakan pada 14 Disember lalu, mereka telah melakukan siasatan dan sehingga kini, tiada bot milik nelayan Suluk kelihatan atau dikesan menangkap ikan di perairan sini.

Katanya pihak polis juga melaporkan bahawa tiada laporan rasmi mengenai kehadiran Suluk di Miri sehingga kini.

Dalam pada itu, beliau berkata statistik daripada Jabatan Imigresen Miri, berdasarkan rekod di Depot Imigresen di Bekenu dekat sini pada 13 Disember, menunjukkan seramai 68 pendatang telah ditahan dengan 38 orang ialah Suluk dan Bajau dari selatan Filipina terdiri daripada 18 lelaki, sembilan wanita dan tiga kanak-kanak.

Berdasarkan statistik imigresen lagi, dari tempoh Januari hingga 15 Disember tahun ini, jabatan itu telah mengendalikan sebanyak 72 operasi dengan lebih 1,000 orang ditahan untuk diperiksa dan 76 daripada mereka adalah PATI.

Lee berkata 23 daripada PATI yang ditahan ialah warga Filipina dan 44 lagi warga Indonesia.

Beliau memberitahu, jika orang awam ingin mengemukakan aduan boleh menghubungi talian 24 jam (hotline) pasukan polis iaitu 085-433730, APMM (085-418204) – 24 jam, Jabatan Imigresen Miri (085-421124) – waktu pejabat dan Jabatan Perikanan Marin (085-653041) – waktu pejabat.

Sementara itu, Lee berkata beliau turut menggesa pihak berkuasa berkaitan memandang serius isu berkenaan dan mengendalikan pemeriksaan di beberapa lokasi seperti yang dilaporkan oleh nelayan tempatan termasuk di sekitar pelantar minyak di perairan negeri ini.

Pada masa sama katanya, Antonio turut mengeluarkan notis kepada semua ketua masyarakat dan menasihati mereka untuk memeriksa pergerakan jika terdapat pendatang asing di kawasan perkampungan mereka atau di kawasan penempatan dan melaporkan segera kepada pihak polis.

Sementara itu, Lee turut menasihati Persatuan Nelayan Miri supaya membawa kad pengenalan atau dokumen berkaitan setiap kali turun ke laut bagi membolehkan mereka mudah dikenal pasti oleh pihak APMM atau polis marin ketika pemeriksaan dilakukan.

“Sepanjang tahun lalu, lebih 2,000 pendatang Suluk dan Bajau ditahan dalam pelbagai operasi yang dilakukan oleh pihak berkuasa di sini dan dihantar pulang ke negara asal mereka,” katanya.