Komponen jengkaut hilang disyaki dicuri

0

Kontraktor kerugian RM113,000, dakwa kejadian berlaku pada pagi 14 Disember lalu

// Oleh Rosemaria Buma //

MIRI: Seorang kontraktor ladang kerugian RM113,000 setelah beberapa komponen sebuah jengkaut milik syarikatnya hilang disyaki dicuri dalam kejadian berlaku di sebuah ladang di Tinjar, Baram.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Penghulu Nyadang Rengkang, 51, selaku pemilik syarikat di Balai Polis Long Lama pagi kelmarin.

Dalam aduannya, pengadu mendakwa kecurian itu disedari sekitar jam 7 pagi, 14 Disember lalu, apabila pengendali jengkaut terbabit yang juga adiknya mendapati beberapa komponen jengkaut jenis Furukawa milik syarikatnya iaitu MN Sg Sebubu Enterprise telah hilang.

Pengadu telah pergi ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan dan mendapati komponen yang hilang terdiri daripada satu pam utama bernilai RM30,00, satu unit injap kawalan (RM40,000), satu unit pam gegancu (RM18,000) dan dua unit gear gegancu (RM25,000) yang kesemuanya bernilai RM113,000.

Menurut Nyadang, jentera itu telah diletak di tepi jalan utama kerana akan digunakan pada keesokkan harinya untuk melakukan kerja-kerja pemasangan pembetung.

“Ini merupakan kali pertama kecurian seumpama itu berlaku semenjak saya mendapat kontrak melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di ladang berkenaan sejak lebih empat tahun lalu,” katanya yang datang ke pejabat Utusan Borneo di sini semalam.

Dalam pada itu menurut Nyadang, sebanyak tujuh buah jengkaut dan empat buah lori milik syarikatnya ditempatkan di dalam ladang berkenaan.