‘Sarawak Cultural Queen’ tonjol keunikan Sarawak

0
JELITAWAN: Sharifah (berdiri tengah) didampingi pemenang ‘Sarawak Beauty Queen’ 1/2014 Cammielye Oliver Rega (kanan beliau) merakamkan gambar berkumpulan bersama peserta saringan pertama semalam.

JELITAWAN: Sharifah (berdiri tengah) didampingi pemenang ‘Sarawak Beauty Queen’ 1/2014 Cammielye Oliver Rega (kanan beliau) merakamkan gambar berkumpulan bersama peserta saringan pertama semalam.

KUCHING: ‘Sarawak Cultural Queen’ 2/2016 merupakan acara pertandingan ratu kebudayaan untuk menonjol keindahan dan kekayaan kepelbagaian kebudayaan di Sarawak.

Menurut jurucakap acara, Sharifah Norzuridah Wan Ujang pihaknya menawarkan hadiah lebih lumayan daripada tahun sebelumnya kepada para pemenang.

“Kita akan mengadakan acara kemuncak pada 18 Februari tahun hadapan di Riverside Majestic Hotel dalam usaha untuk memartabat budaya Sarawak di mata umum melalui saluran komersial.

“Ia juga memberi peluang kepada masyarakat untuk merasai keunikan, mempelajari bahasa dan budaya pelbagai kaum di negeri ini.

“Ia turut memberi peluang kepada para peserta untuk mengetengahkan bakat dalam bidang tarian tradisional Sarawak dan penjagaan kecantikan diri,” katanya pada peringkat awal pertandingan di Hotel Merdeka Palace di sini semalam.

‘Sarawak Cultural Queen’ 2/2016 adalah acara anjuran Persatuan Kebudayaan Gema Tujuh dan Suria Violet Event Management dengan sokongan Kementerian Belia, Sukan dan Solidariti.

Hadiah bagi pemenang pertama adalah sebuah Demak Skuter Rino S, mahkota, ‘sash’ dan hadiah tajaan bernilai RM10,000 dengan wang tunai RM2,000.

Pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima wang tunai RM1,500 dan RM1,000 berserta hadiah tajaan lain.

“Kita gembira kerana ramai peserta datang dari luar kawasan Kuching termasuk Miri, Sibu, Bintulu dan Sabah, malah dua gadis campuran bangsa Cina turut mengambil bahagian.

Seramai 32 peserta dengan pelbagai latar belakang kaum termasuk Melayu, Iban, Jawa, Cina, Kayan, Bidayuh, Melanau, Kenyah, Berawan dan Lun Bawang telah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir pada 21 Januari 2017 di Hotel Merdeka Palace.

“Mulai sekarang para peserta akan diajar untuk menari, ‘catwalk’, persembahan pentas dan kemahiran berhadapan dengan orang ramai. Juga akan diadakan sesi fotografi dan aktiviti amal kebajikan yang akan diumumkan kemudian,” katanya lagi.