Jeritan selamat keluarga jiran daripada rentung

0
PADAM API: Anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran.

PADAM API: Anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran.

KUCHING: Sebuah keluarga terselamat daripada rentung selepas mendengar jeritan jiran apabila kediaman mereka di Kampung Tengah Ulu, Gedong dijilat api semalam.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, keluarga terbabit semasa kejadian berada di tingkat bawah rumah dan tidak menyedari kebakaran tersebut berlaku iaitu sekitar jam 8 pagi.

Difahamkan, jiran mereka melihat api semakin marak terus menjerit mengarahkan mereka keluar dari dalam rumah.

“Semasa kejadian penghuni (keluarga) berada di tingkat bawah dan langsung tidak menyedari tingkat atas rumah mereka terbakar sehinggalah jiran yang ternampak api terus menjerit mengarahkan mereka menyelamatkan diri.

“Kebakaran tersebut berjaya dikawal pada jam 9.24 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.25 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambahnya juga, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

“Kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat dan peratus kemusnahan 90 peratus struktur rumah, di mana punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara dalam kejadian berasingan, sebuah motosikal terbakar sepenuhnya selepas gagal diselamatkan dalam kebakaran di Taman Cahaya Batu Kawah, di sini semalam.

Motosikal tersebut semasa kejadian dikatakan dipakirkan di bahagian bawah tangga rumah pangsa berkenaan apabila dikatakan tiba-tiba terbakar iaitu sekitar jam 1 petang.

“Motosikal tersebut diletakkan di bawah tangga dan terbakar sepenuhnya, manakala sebuah lagi motosikal terbakar 20 peratus kerana sempat dialihkan oleh orang awam,”kata sumber.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.