Tradisi rumah terbuka perlu dikekal demi perpaduan

0
SIMBOLIK PERPADUAN: (Dari empat kanan) Ithnaini, Lee, Ting, Fr Donald serta tetamu kehormat lain bersama memotong kek sempena Rumah Terbuka Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2017 anjuran gereja The Good Shepherd Lutong semalam.

SIMBOLIK PERPADUAN: (Dari empat kanan) Ithnaini, Lee, Ting, Fr Donald serta tetamu kehormat lain bersama memotong kek sempena Rumah Terbuka Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2017 anjuran gereja The Good Shepherd Lutong semalam.

MIRI: Tradisi rumah terbuka sempena perayaan masih relevan dan perlu dikekalkan bagi mengukuhkan perpaduan serta persefahaman pelbagai kaum di negeri ini.

Menteri Muda Pengangkutan Darat, Udara dan Keselamatan Datuk Lee Kim Shin berkata, ia melambangkan keharmonian hidup yang aman dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Amalan saling mengunjungi merupakan budaya yang lama kita amal dan ia merapatkan silaturahim antara kita berbilang kaum serta agama.

“Ini juga lambang kekuatan kita di sini kerana boleh hidup bersatu padu dalam suasana harmoni, saling menghormati dan hidup dalam toleransi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2017 anjuran gereja The Good Shepherd Lutong, di sini semalam.

Hadir sama ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri Adam Yii, Vicar gereja The Good Shepherd Lutong Fr Donald Jute, Pengerusi Masjid An Naim Lutong Ithnaini Bohari, Presiden Persatuan India Miri Kaunselor Karambir Singh, ketua-ketua masyarakat dan dif kehormat lain.

Lee juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin turut mengingatkan generasi muda agar terus mengekalkan tradisi berkenaan.

Katanya, tradisi tersebut bukan sesuatu yang lapuk atau ketinggalan zaman tetapi harus dikekal agar semangat meraikan pelbagai perayaan dapat dilakukan bersama.

“Tradisi ini bukan sahaja diamalkan pada Krismas, malah kita amat bertuah kerana berpeluang meraikan pelbagai perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina, Gawai, Hari Raya dan Deepavali,” katanya.

Justeru jelasnya, tradisi rumah terbuka turut mampu menjadi tarikan kepada pelancong luar yang mengunjungi Sarawak.