Perpaduan kaum wajib dipertahankan: Ronald

0

BELURAN: Konsep perpaduan pelbagai kaum yang wujud di negeri ini menjadi keutamaan kerajaan dalam membentuk masyarakat majmuk.

Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia wajar dipertahan demi keamanan dan keharmonian yang dikecapi.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, sungguhpun negara mempunyai kepelbagaian kaum dan perbezaan agama serta perbezaan politik, namun ia tidak wajar dijadikan sebagai penyebab pemecah perpaduan.

“Adalah menjadi tanggungjawab bersama mengukuhkan perpaduan demi memastikan keharmonian dapat dipertahan sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Krismas Parlimen Beluran Peringkat Daerah Telupid di Dewan Serbaguna Telupid, di sini kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Daerah Telupid Benedict Asmat, Penolong Pegawai Daerah Telupid Syahrin Samsir dan Ketua Pemuda UMNO Beluran Samad Jamri.

Mengenai pembangunan kawasan luar bandar, Ronald berkata masih banyak kawasan luar bandar dalam Parlimen Beluran memerlukan perubahan landskap pembangunan.

“Bagaimanapun, untuk tempoh 2014 hingga kini, kerajaan telah banyak menyalurkan pembangunan infrastruktur asas membabitkan pembangunan jalan raya, bekalan elektrik serta bekalan air bersih,” katanya.

Beliau yakin menerusi kerjasama erat semua pihak, usaha menyalurkan pembangunan asas yang diinginkan penduduk dapat dipercepatkan dan direalisasikan mengikut perancangan dan jadual yang ditetapkan.

Pada majlis itu, orang ramai yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan hiburan serta persembahan koir dari Gereja St David, Telupid.