Beri peluang Sarawak buktikan sesuatu

0
Posa

Posa

Posa sifatkan kritikan mengatakan beliau tidak layak duduk di kerusi presiden FAS sebagai tidak adil

KUCHING: “Beri peluang kepada saya dan exco membuktikan sesuatu kepada pasukan Sarawak,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Datuk Posa Majais sebagai menjawab kritikan beberapa individu terhadapnya.

Sambil menyuarakan rasa terkilan terhadap pihak terbabit, beliau me n y i – fatkan k r i – tikan mengatakan beliau tidak layak duduk di kerusi presiden FAS sebagai tidak adil.

Ini kerana, beliau telah diberi mandat oleh kesemua exco dan ahli gabungan persatuan itu semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 7 Januari 2017.

“Mereka yang mengkritik saya perlu faham…perlembagaan FAS menetapkan kita tidak boleh memilih orang luar pada AGM lepas kerana tempoh sudah tamat dan presiden perlu dipilih dalam kalangan ahli exco sahaja.

“Sebelum ini, kita telah menawarkan jawatan presiden kepada beberapa calon tetapi tiada yang sanggup kerana sedar tanggungjawabnya amat besar.

“Namun saya sedia memikul tanggungjawab ini kerana tidak mahu FAS terus bergerak tanpa presiden dan majoriti ahli exco dan gabungan memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas jawatan tersebut,” katanya pada sidang media semalam.

Menurut Posa, individu yang mengkritik beliau harus faham tugas sebagai presiden FAS amat berat kerana beliau bukan sahaja perlu memastikan kesinambungan persatuan tetapi turut bekerja keras mencari dana untuk menampung pasukan Sarawak yang sememangnya memerlukan peruntukan yang besar setiap tahun.

Sehubungan itu, beliau mendesak pihak yang mengritik dan penyokong faham dan memberi masa kepadanya dan exco membuktikan sesuatu kepada Sarawak.

“Saya tidak kisah dikritik tetapi biarlah ia membina dan dapat membantu memajukan lagi pasukan Sarawak.

“Mungkin mereka yang mengkritik saya tidak faham dengan situasi kami dalam FAS.

“Namun, tidak adil bagi saya mengundur diri ketika ini kerana kami belum lagi bermula.

Saya tidak mahu memanjangkan isu ini kerana bimbang ia akan memberi kesan terhadap pasukan Sarawak dan imej FAS,” katanya.

Posa yang juga pengurus pasukan Sarawak bagaimanapun berjanji bersedia mengundur diri dan memberi laluan kepada mereka yang berminat sekiranya pasukan itu jatuh ke saingan Liga Perdana selepas ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan individu yang berminat menggantinya perlu membuktikan mereka lebih layak daripadanya dan bukan hanya mengejar glamor semata-mata.

“Jatuh dan bangun pasukan Sarawak bukan tanggungjawab FAS sahaja… ia juga bergantung kepada pemain dan jurulatih.

“Justeru, saya berharap pasukan pada tahun ini memberi keputusan yang baik.

“Tetapi, saya berjanji bersedia mengundur diri sebagai presiden FAS sekiranya Sarawak tidak beraksi dengan baik dan jatuh ke Liga Perdana,” katanya.