Sunday, May 26

Pelajar memfitnah Tok Nan diberkas

0
SIASATAN LANJUT: Pegawai imigresen yang ditahan di Kuantan, Pahang diiringi pegawai JSJ Sarawak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk siasatan lanjut.

SIASATAN LANJUT: Pegawai imigresen yang ditahan di Kuantan, Pahang diiringi pegawai JSJ Sarawak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk siasatan lanjut.

KUCHING: Seorang pelajar perempuan tingkatan lima antara yang diberkas kerana didakwa memuat naik kenyataan berunsur fitnah di Facebook terhadap Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar berkata suspek yang dipercayai pemilik akaun Facebook ‘Zera Zera’ itu ditahan di Mukah iaitu sekitar jam 10.45 pagi semalam.

Menurutnya terdapat banyak laporan polis telah diterima terhadap isu itu menjadikan jumlah keseluruhan seramai lima suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Sebelum ini, kami telah menahan reman empat individu termasuk seorang pegawai imigresen di Kuantan, Pahang dan disebabkan itu kami juga terpaksa menahannya (suspek) kerana terdapat banyak laporan diterima terhadapnya.

“Bagaimanapun dia akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas sahaja soal siasat dijalankan memandangkan dia masih merupakan seorang pelajar sekolah,” kata Dev.

Difahamkan suspek terbabit juga menyesali perbuatannya itu dan menganggap ia sebagai satu pengajaran kepadanya.

Setakat semalam, sebanyak 40 laporan polis diterima di 12 daerah di seluruh negeri dan tujuh kertas siasatan telah dibuka.