Tadbir Sarawak dengan baik

0
TERUS KUKUH: Abang Johari bersama Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan pemimpin-pemimpin kanan PBB merakam kenangan selepas mesyuarat MKT PBB, semalam.

TERUS KUKUH: Abang Johari bersama Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Uggah, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan pemimpin-pemimpin kanan PBB merakam kenangan selepas mesyuarat MKT PBB, semalam.

Abang Johari, Uggah tidak menyangka kata-kata pada pertemuan sehari sebelum meninggal dunia adalah pesanan terakhir Allahyarham Adenan.

Oleh Saibi Gi dan Jessica Jawing //

KUCHING: Mereka tidak sama sekali menyangka kata-kata Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem meminta mereka mentadbir Sarawak dengan baik sehari sebelum meninggal dunia adalah pesanan terakhir beliau.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang pada masa itu merupakan Timbalan Ketua Menteri bersama-sama Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berjumpa dengan Adenan yang dirawat di Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak di Kota Samarahan pada 10 Januari.

Allahyarham bekas Ketua Menteri itu berjumpa dengan dua timbalannya itu pada kira-kira jam 12.30 tengah hari, yang menurut Abang Johari tidak terlintas di fikiran mereka ia merupakan pertemuan terakhir mereka.

Pada pertemuan itu, Tok Nan menurut Abang Johari banyak bergurau dan kata-kata bersifat nasihat mengenai pentadbiran negeri yang dituturkannya tidak dianggap sebagai pesanan terakhir.

Abang Johari menjelaskan, Uggah diberi kepercayaan oleh Allahyarham untuk menyelesaikan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), manakala beliau diminta melihat permasalahan rakyat.

“Kita andaikan kata-kata itu bukan pesanan terakhir, cuma permintaan sementara Allahyarham masih menerima rawatan di hospital.

“Allahyarham dalam fikirannya sentiasa mahu Sarawak sebagai negeri yang maju dan aman,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Parti (MKT) Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.

Susulan pemergian Allahyarham Adenan, Abang Johari dilantik sebagai Ketua Menteri dan semalam merupakan mesyuarat pertama MKT PBB selepas pemimpin begitu disanjungi warga Sarawak itu meninggal dunia pada 11 Januari.

“Kami dalam PBB sangat bersedih kerana kami kehilangan seorang pemimpin yang telah banyak mencetuskan pendekatan baharu dalam usaha kita hendak membangunkan negeri,” ujarnya.

Menurutnya, kandungan manifesto BN pada Pilihan Raya Negeri 2016 yang diilhamkan Adenan sehingga membolehkan parti itu menang besar akan terus dilaksanakan demi manfaat rakyat.

Antara tindakan bagi meringankan beban rakyat dilaksanakan Adenan ialah tarif elektrik diturunkan, premium tanah diturunkan, tol jambatan dimansuhkan dan banyak lagi polisi berpaksikan rakyat.

Pemimpin-pemimpin dalam PBB dan kabinet negeri pada masa ini menurutnya mempunyai tanggungjawab dan tugas besar dalam meneruskan usaha-usaha Tok Nan demi pembangunan negeri dan warganya.

“Saya akan meneruskan polisi-polisi pentadbiran Allahyarham dan juga dalam pada itu akan membuat tambah nilai terhadapnya,” katanya menambah, beliau berterima kasih apabila pemimpin-pemimpin dalam PBB dan BN memberi sokongan padu.

Mengenai rundingan dengan kerajaan persekutuan berhubung penurunan kuasa, beliau berkata ia akan diteruskan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengadakan perjumpaan di Putrajaya kelmarin memberi maklum balas positif.

Malah, antara yang menurunkan tandatangan dalam perjanjian itu ialah bapa beliau iaitu bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Abang Openg Abang Sapiee dan bapa Najib, Tun Abdul Razak Hussein.

Adenan semasa hayatnya amat serius memperjuangkan hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan beliau juga seperti Allahyarham Adenan, merupakan Ketua Menteri untuk semua kaum di Sarawak.

“Saya cuba terbaik untuk bekerja keras demi Sarawak termasuk memperjuangkan hak-hak kita yang dibincangkan dengan pemimpin-pemimpin persekutuan berasaskan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.