18 keluarga di Rumah Ningkan terjejas akibat banjir

0

BINTULU: Seramai 125 orang daripada 18 keluarga di Rumah Ningkan, Jalan Setiam-Bintulu terjejas setelah rumah panjang mereka dimasuki air dalam banjir kilat sekitar jam 2 pagi semalam.

Menurut Jurucakap Unit Perhubungan Awam, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, pihaknya dengan bantuan polis bergegas ke lokasi kejadian bagi membuat pemantauan serta menyelamatkan mangsa.

“Penduduk terjejas tidak mahu berpindah kerana paras air tidak terlalu tinggi dan keadaan adalah terkawal namun bimbang keselamatan rumah dan harta benda mereka,” katanya.

Kejadian banjir kilat berikutan faktor cuaca selalu hujan dan tidak menentu pada masa sekarang dan diburukkan lagi dengan limpahan air pasang dari sungai berdekatan.

Ketika laporan ini ditulis, banjir kilat itu sudah mulai surut dan membolehkan penduduk membersihkan limpahan air yang masih bertakung dalam rumah mereka.