Tuesday, April 13

Cawangan ketiga pasar raya Fung Ming terbakar

0

SANDAKAN: Cawangan ketiga pasar raya Fung Ming yang terletak di Kampung Karamunting, Jalan Batu Sapi di sini musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku kelmarin.

Sebelum ini, dua cawangan pasar raya itu yang terletak di Batu 8 dan Batu 16 turut musnah dalam kejadian kebakaran pada September dan Oktober, tahun lalu.

Ketua Zon, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan, Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.35 pagi dan berjaya mengawal kebakaran pada jam 6.56 pagi.

Katanya, operasi memadam kebakaran itu disertai seramai 31 anggota dengan empat jentera dan dua utiliti.

Berdasarkan laporan, kebakaran itu melibatkan bangunan kedai tiga tingkat yang mempunyai 12 lot jenis kekal. Setiap lot kedai itu musnah 100 peratus di bahagian atas dan bawah.

Meskipun menghadapi kesukaran menjalankan operasi pemadaman berikutan tekanan air rendah, namun anggota bomba berjaya memadam api sepenuhnya pada jam 10.24 pagi. Operasi tamat pada jam 12.10 tengah hari.

Tiada kemalangan jiwa diaporkan sementara anggaran kerugian dan punca kebakaran akan disiasat.