Sunday, April 18

Empiang sedia mengundur diri bila tiba masanya

0

KUCHING: Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Empiang Jabu bersedia  mengundur diri bila tiba masanya untuk beliau berbuat demikian.

Beliau bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada parti terutama Presiden Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg untuk membuat keputusan yang terbaik untuk parti.

“Bagi saya, saya akan mengundur diri bila tiba masanya dan saya menyerahkan kepada parti terutama presiden untuk membuat keputusan yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau berhasrat melepaskan jawatan tersebut seperti yang dibuat oleh suaminya, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.

Jabu pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB Sabtu lepas mengumumkan pengunduran sebagai timbalan presiden parti bagi memberi laluan kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Susulan pengunduran Jabu, Uggah yang merupakan naib presiden kanan parti diangkat sebagai pemangku timbalan presiden bagi sayap Pesaka.

Ditanya mengenai pengunduran suaminya, Empiang berkata beliau tidak menjangkakan perkara itu tetapi pada masa yang sama menyokong keputusan suaminya itu.

“Meskipun terkejut dengan keputusannya tetapi ia adalah keputusan yang baik kerana beliau tidak lagi terlibat secara langsung dalam politik dan beliau memberi laluan kepada orang muda yang sudah berada dalam kabinet.

“Saya sangat gembira dengan perkara ini kerana proses peralihan kuasa berjalan dengan lancar serta disokong oleh semua ahli majlis tertinggi (MKT) PBB,” katanya.

Meskipun telah berundur, namun seperti yang sering ditekankan, Jabu menurut Empiang akan tetap setia bersama PBB dan akan sentiasa membantu PBB dalam apa jua kapasitinya.

Empiang dilantik sebagai ketua wanita PBB pada perhimpunan agung pergerakan itu pada 2007 menggantikan Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi yang mengundur diri.