Tanah NCR rakyat akan terus dilindungi: Penguang

0

Beri jaminan bahawa usaha melindungi tanah NCR yang diperjuang Tok Nan akan diteruskan pemimpin baharu

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil memberi jaminan kepada rakyat bahawa usaha melindungi tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang diperjuang bekas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan akan diterus pemimpin baharu.

Beliau berkata, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg ketika baharu dilantik tempoh hari menyatakan komitmen meneruskan misi serta perjuangan Tok Nan sebelum ini.

Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi menambah, Abang Johari sedia berbincang mengenai isu NCR, ‘Pemakai Menoa’ dan ‘Pulau Galau’ selain memaklumkan bahawa kerajaan komited dalam menyelesaikan isu-isu tanah.

“Contohnya, beliau baharu sahaja mengadakan perbincangan dengan pihak Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) dan perladangan berhubung isu NCR di DUN Marudi diikuti beberapa siri perbincangan lain akan diadakan dengan penduduk kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena perasmian tapak rumah panjang baharu di Rumah James Banggau, Sungai Sibukut, kelmarin.

Beliau turut menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Salwan, Sungai Lai dan merasmikan rumah e-Kasih Ensuna Jingga di Sungai Lutong, Bakong.

Penguang menambah, kerajaan maklum terhadap masalah dan isu yang diutarakan penduduk rumah panjang dan akan berusaha mendapatkan peruntukan bagi memenuhi keperluan asas setiap rumah panjang.

“Kawasan luar bandar memang tidak lekang daripada isu keperluan asas seperti jalan, telekomunikasi, bekalan air dan elektrik.

“Saya memohon rakyat luar bandar supaya bersabar kerana kerajaan sedang berusaha memenuhi keperluan tersebut dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau mengajak semua rakyat di Marudi mengingati jasa Tok Nan, terutama dalam perjuangan mensejahterakan penduduk luar bandar melalui pemansuhan cukai tanah (meliputi tanah pertanian pekebun kecil kurang daripada 40 hektar dan semua tanah kediaman) dan rumah panjang yang sekarang juga tidak perlu lagi membayar cukai pintu.

Pada majlis tersebut Penguang mengumumkan kelulusan peruntukan RM16,000 (Program Bantuan Rumah) dan RM30,000 peruntukan khas Perdana Menteri untuk Rumah James Banggau, RM35,000 (Program Bantuan Rumah) dan geran projek kecil luar bandar (MRP) sejumlah RM3,000 untuk Rumah Salwan selain sumbangan peribadi kepada penerima rumah e-Kasih, Ensuna Jingga.

Turut hadir adalah isteri beliau Datin Monica Ukong, Setiausaha Politik Ketua Menteri Alexander Aseng, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Edward Mendai, ahli-ahli majlis Majlis Daerah Marudi, Pegawai Tadbir Sarawak Pejabat Daerah Beluru Belayong Pok, Pemanca Enggah dari Beluru, Pemanca Wilson Siang dari Miri, penghulu-penghulu dan tuai-tuai rumah di sekitar Marudi dan Miri.

Beliau juga menggesa semua rakyat terutama di Marudi untuk bersatu padu dengan slogan ‘segulai sejalai’ dan sentiasa menyokong kerajaan BN tanpa mengira parti komponen masing-masing.

“Rakyat  diingat supaya tidak mempercayai terus khabar angin, terutama propaganda yang boleh merosakkan perpaduan dan menimbulkan kekeliruan serta salah faham,” katanya.

Dalam pada itu Penguang memuji usaha tuai rumah dan penduduk rumah panjang yang masih mengekalkan adat dan tradisi Iban dan berharap supaya ia diteruskan dan tidak pupus ditelan zaman.